Pada 29 Julai yang lalu, aku (wakil daripada Jabatan Penyelidikan dan Pembangungan) dan seorang lagi wakil daripada Jabatan Bahasa iaitu Cik Hajah Hamidah Abdul Hamid telah membuat tinjauan pelaksanaan Program KIA2M di SK Penderas, Kuala Krau, Temerloh, Pahang.
Perjalanan ke Temerloh pada petang hari Isnin itu langsung tidak memenatkan kerana jarak antara Temerloh dengan IPBMM bukanlah jauh sangat. 200 km merupakan jarak biasa bagi seorang pensyarah. Aku yang biasa berulang-alik sejauh lebih 100 km (pergi dan balik) ke tempat kerja, memandu tenang ke destinasi iaitu Bandar Ikan Patin, Temerloh. Kami di tiba di Hotel Jelai (telah ditempah lebih awal...RM73/bilik) ketika azam Maghrib berkumandang dari masjid Sultan Abu Bakar.
Selesai solat, kami mengambil peluang untuk menjamu selera di sebuah restoran yang terletak bersebelahan dengan Pejabat TNB. Memang enak masakan di situ. Harganya juga sangat berpatutan. Sebelum kembali ke hotel, aku (anak kelahiran Temerloh) membawa Cik Hajah Hamidah melihat panorama Bandar Ikan Patin di waktu malam. Nampak sedikit perubahan dari aspek keceriaan di bandar yang telah lama aku tinggalkan ini.
Sesekali kenangan belajar seketika di daerah kelahiran datang bertandang. Cik Hajah Hamidah kelihatan seronok mendengar setiap penerangan dan cerita daripada aku. Aku juga gembira kerana berpeluang menjadi 'tourist guide' tidak bertauliah.Kami kembali ke hotel ketika jam menunjukkan pukul 10 lebih. Bilik yang disediakan cukup selesa, sesuai dengan harga yang ditawarkan. Perkhidmatan 'wireless internet' juga disediakan. Jadi, hotel ini amat sesuai untuk aku dan juga rakan-rakan penyelidik lain yang ingin berkunjung ke daerah ini bagi menyempurnakan kerja-kerja penyelidikan dan membimbing guru-guru di sekolah angkat KIA2M.
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi kami sudah bangun kerana perjalanan ke SK Penderas memakan masa antara 30-40 minit. Selesai bersarapan di hotel, kami meneruskan misi sebenar kami datang ke Temerloh. Kali ini fungsi sebagai pemandu pelancong telah diberikan kepada Cik Hajah Hamidah. Walaupun aku lahir di Temerloh tetapi sebahagian besar daripada hayat aku, aku berada di luar negeri Pahang.
Hati aku cukup terhibur sepanjang perjalanan ke SK Penderas. Bukan aku tidak biasa ke Kuala Krau tetapi sudah lebih setahun aku mengidam untuk ke SK Penderas. Kerancakan Cik Hajah Hamidah bercerita tentang hampir semua perkara termasuklah pemandangan kiri kanan yang kami temui sepanjang perjalanan itu menjadikan aku semakin teruja untuk segera sampai SK Penderas.
Cik Hajah Hamidah dan SK Penderas bagaikan sudah sebati. Itulah yang dapat aku simpulkan tentang Cik Hajah Hamidah setelah aku mendengar cerita daripada beliau sepanjang perjalanan kami. Beliau dapat menggambarkan hampir semua perkara yang berkaitan dengan kawasan Penderas. Aku langsung tidak tahu apa-apa kecuali...seorang rakan sekelas aku di tingkatan enam berasal dari Kg Penderas. Itu sahaja. Tetapi Cik Hajah Hamidah dapat menggambarkan keadaan Penderas dengan begitu jelas dan terperinci.Dalam diam aku mengagumi beliau.
"Wow!" Itulah perkataan yang terpacul dari mulut aku tatkala melihat SK Penderas yang tersergam di hadapan mata. Memang hebat! Sehebat anugerah yang diterima.
(akan bersambung...)