Sunday, April 6, 2008

BUDAYA PENYELIDIKAN BELUM CUKUP PERKASA

Berita Harian (30 Mac 2007)

KUALA LUMPUR: Budaya penyelidikan dan pembangunan (R&D) di negara ini masih belum cukup perkasa untuk menghasilkan produk hebat yang boleh dikomersialkan ke pasaran tempatan atau antarabangsa.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata memang jumlah R&D yang dijalankan di kalangan universiti banyak tetapi ia masih di peringkat awal untuk mendapatkan hasil dalam tempoh singkat.

“Dalam hal ini, adalah biasa kita terpaksa membayar kos permulaan yang tinggi kerana kita tiada budaya R&D yang mantap. Malah, kita bermula daripada kosong.

“Kita tidak boleh mengharapkan hasil dengan cepat dan dalam tempoh setahun atau dua. Tiada negara dalam dunia mempunyai sasaran begitu terutama jika kita membangunkan teknologi sendiri,” katanya.

Beliau bercakap selepas merasmikan Ekspo Teknologi Malaysia 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam. Hadir sama Presiden Persatuan Penyelidik Sains Malaysia (Mars), Datuk Dr Mohd Ariffin Aton.

Awang Adek diminta mengulas mengenai hanya 34 atau tidak sampai tiga peratus daripada 1,143 hasil penyelidikan enam universiti tempatan yang memenangi pelbagai anugerah di dalam atau luar negara sejak 2000 hingga tahun lalu berjaya dikomersialkan.

Malah, sesetengah hasil penyelidikan itu terbengkalai begitu saja kerana tidak mendapat sokongan pihak industri, sedangkan kerajaan menyediakan peruntukan yang besar bagi menjalankan kajian berkenaan.

Beliau berkata, jika mengambil negara maju seperti Korea Selatan umpamanya, mereka mempunyai teknologi tempatan yang dibangunkan sendiri tetapi lebih penting negara itu memiliki budaya R&D yang tinggi untuk menghasilkan produk dan ciptaan saintifik yang menjana pendapatan.

“Tidak cukup jika kita menghasilkan satu produk saja. Kerajaan sedar dan faham mengenai keadaan itu dan yakin peningkatan sudah berlaku yang ditonjolkan dengan penubuhan pusat penyelidikan di universiti tempatan yang dapat mencipta produk untuk dikomersialkan dan memang ia sudah diusahakan.

“Apapun, kita perlu mencipta teknologi, jika tidak kita akan cuma meminjamnya.

Masih ada ruang untuk produk yang dihasilkan menerusi R&D dikomersialkan dan memerlukan lebih masa untuk mendedahkannya kepada pihak industri,” katanya.

1 comment:

JPIPK@IPG KBM said...

thanks for stopping by. we will your blog too.