Thursday, July 26, 2012
Wednesday, July 25, 2012
Friday, July 6, 2012
CONTOH KAJIAN TINDAKAN :
PENGGUNAAN
BONEKA BAGI MENINGKATKAN KOMUNIKASI KANAK-KANAK DI PRASEKOLAH
Mohd Fhayrus Bin Abdullah
IPG Kampus Bahasa Melayu
Sekolah Kebangsaan LKTP, Tembangau 3,
Kemayan, Pahang Darul Makmur
ABSTRAK
Kajian
ini adalah kajian tindakan yang dijalankan bagi meningkatkan komunikasi
kanak-kanak di prasekolah dengan menggunakan boneka. Tujuan kajian ini
dijalankan adalah untuk meningkatkan keupayaan berkomunikasi kanak-kanak dengan
lancar dan jelas. Objektif kajian ini untuk meningkatkan keupayaan kemahiran
berkomunikasi kanak-kanak dan meningkatkan bilangan perbendaharaan kata
kanak-kanak. Soal selidik, temu bual dan pemerhatian digunakan sebagai
instrumen kajian. Instrumen ini digunakan bagi mengenal pasti peningkatan
keupayaan komunikasi kanak-kanak. Responden kajian terdiri daripada enam orang
kanak-kanak prasekolah. Data dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif
(kekerapan, peratusan dan petikan perbualan). Hasil refleksi, menunjukkan
bahawa masalah komunikasi yang dihadapi oleh kanak-kanak ini berpunca daripada
kekurangan penguasaan bilangan perbendaharaan kata. Tambahan lagi, kanak-kanak ini tidak mempunyai kemahiran
berkomunikasi. Boneka digunakan untuk membantu kanak-kanak mengatasi masalah
yang dihadapi iaitu meningkatkan keupayaan komunikasi dan menambahkan bilangan
perbendaharaan kata kanak-kanak. Dalam intervensi ini, kanak-kanak diberi
kebebasan untuk memilih boneka. Kanak-kanak dan guru menjalankan aktiviti
bercerita dengan menggunakan boneka. Kanak-kanak juga menggunakan boneka untuk
menjawab soalan yang di kemukakan kepadanya. Selain itu, kanak-kanak juga
berpeluang untuk bermain boneka bersama-sama rakan. Implikasinya, kanak-kanak
dapat bercerita kepada rakan-rakan dan guru dengan yakin dan berani. Bilangan
perkataan yang digunakan oleh kanak-kanak juga bertambah berbanding sebelum
menggunakan boneka. Penggunaan boneka semasa sesi pengajaran dan pembelajaran
dapat meningkatkan keupayaan komunikasi kanak-kanak di samping meningkatkan
bilangan perbendaharaan kata yang dikuasai mereka.
ABSTRACT
This is a study on how to enhance the
communication skills of preschool children using puppets. The purpose of this
study is to improve the children’s ability to communicate fluently and clearly.
The objective of this study is to increase the development of the children’s
communication skills and to increase their vocabulary. The research instruments
are supported by questionnaires,
interviews and observations. The respondents comprise of
six-selected preschool children and the data is analysed using descriptive
analysis (recorded dialogues, percentage and frequency). Through the results of
reflection, the research outcome indicates that one of the major communication
problems among children is lack of vocabulary. In
addition, these children do not have the communication skills. Using
puppets would help to solve the problems faced by these children in improving
their communication skills and vocabulary. Through
intervention, the children are given the freedom to choose a puppet. The
children and teachers then engage in conversations using puppets. The children
also use the puppets to answer questions. In
addition, these children have the opportunity to play puppets with friends. The
results show that, the child can talk to friends and teachers with confidence
and courage. The numbers of words used by these children have increased from
the use of puppets. Overall, based on the research carried out,
introducing a new method of teaching, especially by using puppets, helped to
increase their ability in developing communication. The
use of puppets has increased the ability of communication skills and vocabulary
among these children.
PENGENALAN
Kajian
yang dilaksanakan ini adalah berkaitan dengan penggunaan boneka terhadap murid
prasekolah di salah sebuah sekolah di Selangor Darul Ehsan. Kajian ini
dilaksanakan bagi melihat tahap pencapaian kanak-kanak untuk berkomunukasi.
Tajuk kajian ini adalah Penggunaan Boneka Bagi Meningkatkan Komunikasi
Kanak-Kanak Di Prasekolah. Kajian ini telah dilaksanakan terhadap enam orang
kanak-kanak prasekolah tersebut. Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk
meningkatkan keupayaan berkomunikasi dengan lancar dan jelas. Kajian ini telah
menggunakan boneka jenis sarung tangan. Boneka-boneka yang telah digunakan
dalam kajian ini mengambarkan watak-watak haiwan. Sebanyak 11 buah boneka
sarung tangan yang telah digunakan dalam kajian ini iaitu boneka ayam, itik, monyet, panda, pinguin,
katak, lembu, tikus, tupai, buaya, dan ular.
Menurut
kamus dewan edisi keempat (2007), boneka adalah patung misalnya orang atau
binatang yang boleh digerakkan dengan menarik tali yang dilekatkan padanya atau
dengan memasukkan tangan ke dalam badannya dan menggerakkannya. Zurinah dan
Mohamad Iman (2004), pelbagai bentuk boneka boleh dihasilkan sama ada daripada
kertas atau kain. Setiap kali bercerita, boneka dijadikan modul penceritaan.
Dengan ini segala bentuk penceritaan lebih mudah difahami. Kemudian kanak-kanak
menggunakan boneka tersebut untuk melahirkan watak-watak yang berbeza. Cara ini
juga lebih berkesan terutama untuk memastikan imaginasi kanak-kanak dapat
dilahirkan melalui penceritaan.
Komunikasi pula adalah perhubungan secara langsung atau dengan
perantara surat, radio, telefon, dan lain-lain. (Kamus dewan edisi keempat, 2007). Emery,
Ault dan Ageel (1973) menyatakan komunikasi adalah salah satu seni menyalurkan
maklumat, idea-idea dan sikap-sikap dari seseorang kepada seseorang yang lain.
Definisi ini megutamakan penyaluran sesuatu daripada seseorang individu kepada
individu lain.
Menurut
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (2009), kanak-kanak prasekolah sepatutnya menguasai
kemahiran komunikasi. Hal ini adalah kerana di dalam Kurikulum Standard Prasekolah
Kebangsaan menekankan aspek komunikasi melalui Tunjang Komunikasi Bahasa
Malaysia. Kemahiran komunikasi prasekolah mempunyai lima standard kandungan
iaitu BM2.1 berinteraksi dengan mesra, BM2.2 bersoal jawab melalui rangsangan
yang diberi, BM2.3 melafazkan puisi dengan intonasi yang betul, BM2.4
menceritakan perkara yang didengar dan BM2.5 melakonkan watak-watak mengikut
situasi.
Komunikasi
mempunyai kepentingan kepada kehidupan kita seharian. Menurut Baran dan Davis
(2000) komunikasi dapat menyebarkan informasi dan amaran, menjalinkan hubungan
dengan kelompok-kelompok di dalam masyarakat, transmisi budaya masyarakat dan
hiburan. Komunikasi dapat menyebarkan informasi semasa dan terkini mengenai
keadaan persekitaran manusia. Ianya juga bertindak menyampaikan amaran yang
berupa peringatan kepada sesebuah masyarakat atau kelompok yang terbabit.
Melalui
pengalaman pengajaran di prasekolah ini, didapati bahawa terdapat beberapa orang kanak-kanak
yang kurang berkomunikasi dan tidak aktif semasa aktiviti pengajaran dan
pembelajaran dijalankan di dalam kelas. Hasil refleksi pengajaran, kanak-kanak
bermasalah komunikasi ini kurang memberikan respon yang baik semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Kanak-kanak ini tidak memberikan idea
atau pendapat apabila diminta oleh guru. Kenyataan ini disokong dengan hasil
pemerhatian yang dijalankan, didapati bahawa jumlah kekerapan kanak-kanak
menjawab soalan yang telah dikemukakan adalah rendah iaitu hanya 5 soalan
daripada 23 soalan yang telah dikemukakan sepanjang sesi pengajaran dan
pembelajaran. Pemerhatian telah dijalankan sebanyak tiga kali. Sehubungan ini,
purata soalan yang mendapat respon daripada kanak-kanak ialah 7 soalan.
Di
samping itu, hasil perbualan bersama keenam-enam kanak-kanak ini didapati
bahawa kanak-kanak ini kurang memberikan respon apabila dikemukakan soalan
kepada mereka. Perbualan ini dijalankan secara individu. Hasil temubual telah
menunjukkan jumlah kekerapan menjawab soalan adalah rendah. Didapati, tidak
semua soalan yang diberikan dapat dijawab oleh kanak-kanak. Sebanyak 18 soalan
telah dikemukakan kepada setiap individu kanak-kanak. Jumlah jawapan yang
paling tinggi yang dapat dijawab oleh kanak-kanak adalah sebanyak 14 soalan
sahaja. Namun begitu, menurut Penjaga kepada Kanak-kanak Af mengatakan anaknya
tidak berdiam diri di rumah seperti yang telah berlaku di kelas prasekolah.
Anaknya juga selalu mengulangi perkataan-perkataan atau perkara-perkara yang
telah dipelajarinya di sekolah. Antaranya adalah seperti ucapan terima kasih.
“Terima kasih Cikgu Z” dan menyanyi lagu kanak-kanak. Begitu juga dengan
penjaga kanak-kanak Hu mengatakan anaknya sering melakonkan semula aktiviti
yang telah dijalankan di sekolah bersama guru. Kenyataan ini dapat
menunjukkakan bahawa kanak-kanak ini merupakan kanak-kanak yang normal seperti
kanak-kanak yang lain kerana dapat berkomunikasi dengan baik di rumah
berbanding di sekolah. Kanak-kanak ini tidak mengalami masalah berkomunikasi
seperti kanak-kanak berkeperluan khas. Kanak-kanak ini hanya bermasalah untuk
berkomunikasi ketika sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan.
Justeru,
didapati bahawa keenam-enam orang kanak-kanak yang telah diperhatikan semasa
sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan adalah menunjukkan bahawa
keenam-enam kanak-kanak ini mengalami masalah berkomunikasi. Kanak-kanak
tersebut adalah Kanak-kanak Af, Kanak-kanak Fa, Kanak-kanak Ha, Kanak-kanak Hu,
Kanak-kanak Ai, dan Kanak-kanak An. Masalah berkomunikasi yang dihadapi oleh
kanak-kanak ini adalah kekurangan penguasaan bilangan perbendaharaan kata. Tambahan
lagi, kanak-kanak ini tidak mempunyai kemahiran berkomunikasi.
Model
Komunikasi Wilbur Schramm (1954) merupakan penyelidik komunikasi massa yang
ulung. Menurut Scharmm komunikasi di antara sumber dan penerimaan hanya
tertumpu kepada perkara-perkara yang kedua-duanya mempunyai pengalaman yang
sama. Hanya utusan yang difahami oleh kedua-dua pihak sahaja yang akan dapat
membantu keberkesanan komunikasi. Proses komunikasi yang berkesan hanya boleh
berlaku jika terdapat pertindihan pengalaman dan bahasa antara dua pihak iaitu
di antara sumber dengan destinasi. Ini adalah kerana rangsangan dienkod dan
mesej didekod jika penyampai mesej dan penerima mesej mempunyai pengalaman dan
aras bahasa yang sama.
Kaedah
belajar melalui bermain telah diaplikasikan menggunakan boneka. Dalam kajian
ini, kanak-kanak bermain menggunakan boneka. Feldman
(1991), menyatakan kanak-kanak belajar secara semula jadi. Mereka ingin tahu,
berminat, bersemangat dan memberi perhatian bagi mempelajari perkara-perkara
baharu. Cara yang terbaik mengajar kanak-kanak adalah melalui bermain dan gaya
pembelajaran mereka yang semula jadi. Friederich Wilhelm Frobel
(1782-1852) yakin permainan yang sesuai dapat membantu kanak-kanak berfikir
berkenaan interaksi antara ‘kehidupan dan aktiviti sendiri, pemikiran dan
tindakan, perwakilan dan kognisi serta kebolehan dan pemahaman’. (Brewer,1992)
Robert
M. Gagne (1970), menyatakan pembelajaran bergerak dari yang paling mudah menuju
kepada yang rumit. Pembelajaran pada aras yang tinggi bergantung kepada
pembelajaran pada aras yang rendah. Pada mulanya kanak-kanak bermain boneka
secara bersendirian. Ketika ini kanak-kanak hanya akan berkomunikasi dengan
dirinya sahaja. Bahan perbualan juga berkaitan dengan dirinya sahaja. Kemudian
kanak-kanak akan bermain bersama rakan-rakan yang berada dipersekitarannya.
Komunikasi yang lebih baik berlaku apabila kanak-kanak bermain boneka bersama.
Kanak-kanak akan berkongsi pengalaman masing-masing. Perkataan yang lebih
kompleks digunakan dalam perbualan mereka. Seterusnya, kanak-kanak dapat
menambahkan bilangan perbendaharaan kata mereka.
Objektif
Umum
Objektif
umum kajian adalah meningkatkan keupayaan berkomunikasi kanak-kanak dengan
lancar dan jelas.
Objektif
Khusus
Objektif
khusus kajian ini adalah seperti berikut.
i.
Meningkatkan keupayaan kemahiran
berkomunikasi kanak-kanak.
ii.
Meningkatkan bilangan perbendaharaan
kata kanak-kanak.
Soalan
Kajian
Persoalan
kajian ini adalah seperti berikut.
i.
Adakah penggunaan boneka dapat
meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak?
ii.
Adakah penggunaan boneka dapat
meningkatkan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak?
TINJAUAN LITERATUR
Menurut
kamus dewan edisi keempat (2007), boneka adalah patung misalnya orang atau
binatang yang boleh digerakkan dengan menarik tali yang dilekatkan padanya atau
dengan memasukkan tangan ke dalam badannya dan menggerakkannya. Manakala komunikasi pula adalah perhubungan secara langsung atau dengan
perantara surat, radio, telefon, dan lain-lain. (Kamus dewan edisi keempat, 2007). Menurut
Emery, Ault dan Ageel (1973), menyatakan komunikasi adalah salah salah satu
seni menyelurkan maklumat, idea-idea dan sikap-sikap dari seseorang kepada
seseorang yang lain. Definisi ini megutamakan penyaluran sesuatu daripada
seseorang individu kepada individu lain.
Kajian
ini berlandaskan Teori Perkembangan Jean Piaget (1963) yang menyatakan ketika
peringkat praoperasi iaitu ketika kanak-kanak menjagkau usia dua tahun hingga
tujuh tahun, kanak-kanak menggunakan simbol untuk mewakili objek-objek yang
dilihat di sekelilingnya. Kanak-kanak mula bertutur tetapi pertuturannya
bersifat egosentrik. Topik perbualannya adalah berkisar tentang dirinya sendiri.
Kanak-kanak juga tidak berminat untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan
orang lain. Pada peringkat ini juga, kanak-kanak enggan menerima pendapat orang
lain. Boneka digunakan untuk membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh
kanak-kanak dalam meningkatkan keupayaan komunikasi dan bilangan perbendaharaan
kata kanak-kanak.
Selathurai
Nadeson (1982), menerangkan bahawa pepatung (puppet show) boleh digunakan untuk menerangkan atau menghuraikan
sesuatu, memberi arahan, mengucapkan sesuatu yang lucu, bercerita, menyoal dan
juga untuk mencipta situasi-situasi drama yang melibatkan kanak-kanak. Pepatung
akan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memperkayakan dan menambahkan
kemahiran bahasa dan juga memberi peluang untuk perkembangan kemahiran imaginatif.
Zaharatullaili (2006) telah menjalankan kajian mengenai penggunaan boneka telah
digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan prasekolah. Boneka
merupakan salah satu bahan bantu yang dapat menarik minat dan perhatian
kanak-kanak terhadap pembelajaran kerana sifat semula jadi kanak-kanak itu yang
sukakan boneka. Bermain dengan boneka dapat memberi peluang dan kebebasan
kepada kanak-kanak untuk mengembangkan potensi masing-masing berdasarkan tahap
kebolehan dan kemahiran mereka. Kajian beliau mendapati teknik penggunaan
boneka yang berkesan dapat membantu kanak-kanak dalam perkembangan bahasa,
emosi, sosial, komunikasi, fizikal dan pengetahuan kanak-kanak.
Azizah
(1995), menyatakan bahawa kanak-kanak mempunyai cara belajar yang tersendiri.
Mereka suka meneroka perkara-perkara baru yang menarik perhatian mereka.
Perkara-perkara ini boleh merangsang pemikiran mereka. Mereka belajar dengan
membuat ‘learning by doing’, aktiviti
yang mereka sendiri lakukan sangat penting. Mereka suka mencari dan mendapatkan
maklumat dari diri mereka dan alam sekeliling. Mereka belajar dari tindakan
mereka sendiri. Kanak-kanak juga suka mengikut contoh orang dewasa. Satu
daripada strategi yang sesuai dalam pembelajaran kanak-kanak ialah bermain
sambil belajar. Levy (1984), yang telah membuat kajian semula terhadap
kajian-kajian lepas yang melibatkan hubungan main dengan perkembangan bahasa
telah membuat kesimpulan seperti berikut.
i.
Main memberangsangkan inovasi dalam
bahasa
ii.
Main memperkenalkan dan menerangkan
perkataan dalam konsep yang baru
iii.
Main menghubungkaitkan penggunaan dan
praktis bahasa
iv.
Main memperkembangkan kesedaran
metalinguistik
v.
Main menggalakkan pemikiran secara lisan
Kajian beliau mendapati main dapat memperkembangkan
bahasa kanak-kanak. Penggunaan boneka merupakan salah satu cara kanak-kanak
bermain. Kanak-kanak dapat menigkatkan meningkatkan keupayaan komunikasi dan
bilangan perbendaharaan kata dengan bermain boneka.
Sebagai
rumusannya, penggunaan boneka dalam kajian ini ialah untuk meningkatkan
keupayaan kanak-kanak berkomunikasi dengan lancar dan jelas. Penggunaan boneka
ini adalah merangkumi kanak-kanak dan guru bercerita dengan menggunakan boneka.
Kanak-kanak juga menggunakan boneka untuk menjawab soalan yang di kemukakan
kepadanya dan kanak-kanak berpeluang untuk bermain boneka bersama rakan-rakan.
METODOLOGI
Kajian tindakan ini melibatkan seramai enam orang
kanak-kanak prasekolah di salah sebuah sekolah di Selangor. Kanak-kanak ini
terdiri daripada tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan. Kanak-kanak ini
berbangsa Melayu dan beragama Islam. Kanak-kanak ini berumur dalam lingkungan
lima hingga enam tahun. Kanak-kanak ini belajar dalam sebuah kelas yang sama.
Elliot
dan Adelman (1976) mendefinisikan kajian tindakan dalam bidang pendidikan
sebagai satu pendekatan penyelidikan yang berusaha mempertingkatkan mutu
profesionalisme pendidik dengan cara menyelidik situasi sosial dan institusi
pendidikan, dan tujuan kajian tindakan ialah membaiki kualiti amalan harian.
Temu bual dan pemerhatian digunakan sebagai instrumen kajian. Instrumen ini
digunakan bagi mengenal pasti peningkatan keupayaan komunikasi kanak-kanak.
Dalam
intervensi yang telah dijalankan, kanak-kanak diberi kebebasan untuk memilih
boneka. Kanak-kanak dan guru bercerita dengan menggunakan boneka. Kanak-kanak
juga menggunakan boneka untuk menjawab soalan yang di kemukakan kepadanya.
Selain itu, kanak-kanak berpeluang untuk bermain boneka bersama rakan-rakan.
Alat
kajian soal selidik digunakan bagi mengenal pasti keupayaan komunikasi kanak-kanak.
Kanak-kanak dibahagi kepada dua kumpulan. Cerita disampaikan kepada
kanak-kanak. Sebanyak lapan buah soalan telah disediakan berdasarkan skrip
cerita. Setiap orang kanak-kanak dikehendaki menjawab soalan yang diberikan
kepadanya dengan menggunakan boneka. Dalam masa yang sama penyelidik turut
menggunakan boneka ketika mengemukakan soalan kepada kanak-kanak. Hasil dapatan
soal selidik dicatatkan pada borang soal selidik.
Selain
itu, alat kajian pemerhatian juga digunakan semasa kanak-kanak bermain boneka
bersama rakan-rakan. Kanak-kanak dibahagi kepada dua kumpulan. Kanak-kanak
diberi pilihan untuk memilih boneka untuk digunakan. Pemerhatian dijalankan
terhadap kanak-kanak ketika kanak-kanak bermain boneka. Pemerhatian dicatatkan
menggunakan nota lapangan Pemerhatian juga digunakan untuk mengenal pasti
keupayaan komunikasi kanak-kanak.
Di
samping itu, alat kajian temu bual bersemuka dijalankan terhadap kanak-kanak. Cerita
disampaikan kepada kanak-kanak. Sebanyak tiga buah soalan telah disediakan berdasarkan
skrip cerita. Setiap orang kanak-kanak dikehendaki menjawab soalan yang
diberikan kepadanya dengan menggunakan boneka. Dalam masa yang sama penyelidik
turut menggunakan boneka ketika mengemukakan soalan kepada kanak-kanak.
Penggunaan perbendaharaan kata kanak-kanak dicatatkan pada borang yang telah
disediakan. Temu bual berstruktur digunakan untuk mendapatkan maklumat mengenai
penggunaan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak.
KEPUTUSAN
Persoalan
Kajian Pertama: Adakah penggunaan boneka dapat meningkatkan
keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak? Hasil analisis soal selidik dan
pemerhatian yang dijalankan telah dapat mengenal pasti keupayaan berkomunikasi
kanak-kanak dengan menggunakan boneka.
Jadual 1.1: Hasil analisis soal
selidik terhadap kanak-kanak Kumpulan 1 dengan menggunakan cerita Kera menjadi
Raja
Jawapan
|
Kanak-kanak Af
|
Kanak-kanak Fa
|
Kanak-kanak Ha
|
|||
Benar
|
Salah
|
Benar
|
Salah
|
Benar
|
Salah
|
|
Jumlah Skor
|
7/8
|
1/8
|
7/8
|
1/8
|
8/8
|
0/8
|
Peratusan (%)
|
87.5
|
12.5
|
87.5
|
12.5
|
100
|
0
|
Jadual 1.2: Hasil analisis soal
selidik terhadap kanak-kanak Kumpulan 2 dengan menggunakan cerita Kancil dan
Buaya
Jawapan
|
Kanak-kanak Hu
|
Kanak-kanak Ai
|
Kanak-kanak An
|
|||
Benar
|
Salah
|
Benar
|
Salah
|
Benar
|
Salah
|
|
Jumlah Skor
|
7/8
|
1/8
|
8/8
|
0/8
|
7/8
|
1/8
|
Peratusan (%)
|
87.5
|
12.5
|
100
|
0
|
87.5
|
12.5
|
Berasaskan kedua-dua jadual yang
diperoleh, didapati dua orang kanak-kanak mendapat peratusan 100% iaitu
Kanak-kanak Ha dan Kanak-kanak Ai. Kedua-dua orang kanak-kanak ini telah
berjaya menjawab kesemua soalan yang diberikan kepadanya dengan betul
berdasarkan cerita yang telah diperdengarkan. Manakala Kanak-kanak Af,
Kanak-kanak Fa, Kanak-kanak Hu, dan Kanak-kanak An dapat menjawab dengan betul
tujuh soalan dengan betul daripada lapan soalan yang diberikan. Empat orang
kanak-kanak ini mendapat peratusan 87.5%. Seperti pada Lampiran P dan Lampiran
Q.
Rumusannya,
hasil analisis penyoalan yang telah dijalankan terhadap kanak-kanak mendapati
bahawa kanak-kanak dapat menjawab soalan yang diberikan kepada mereka dengan
baik dengan menggunakan boneka. Kebolehan kanak-kanak ini menjawab soalan yang
diberikan menunjukkan bahawa kanak-kanak ini dapat berkomunikasi dengan
baik dengan menggunakan boneka. Justeru,
penggunaan boneka dapat meningkatan keupayaan kemahiran berkomunikasi
kanak-kanak.
Jadual 2.1: Hasil analisis pemerhatian terhadap
kanak-kanak bermain boneka bagi Kumpulan 1.
Kanak-kanak
|
Jumlah
bilangan ayat yang disebut oleh kanak-kanak
|
Af
|
12
|
Fa
|
20
|
Ha
|
20
|
Jadual 2.2: Hasil analisis pemerhatian terhadap
kanak-kanak bermain boneka bagi Kumpulan 2.
Kanak-kanak
|
Jumlah
bilangan ayat yang disebut oleh kanak-kanak
|
Hu
|
19
|
Ai
|
15
|
An
|
15
|
Berasaskan kedua-dua jadual yang
diperoleh, hasil kajian mendapati bahawa jumlah bilangan ayat yang tertinggi
yang telah dapat disebut oleh kanak-kanak adalah sebanyak 20 ayat iaitu dicapai
oleh Kanak-kanak Ha dan Kanak-kanak Fa bagi Kumpulan 1. Manakala jumlah
bilangan ayat yang tertinggi yang telah dapat disebut oleh kanak-kanak bagi
kumpulan 2 adalah Kanak-kanak Hu iaitu 19 skor. Jumlah bilangan ayat yang
terendah yang telah disebut oleh kanak-kanak ialah Kanak-kanak Af bagi Kumpulan
1 dengan hanya dapat menyebut sebanyak 12 sahaja. Manakala bagi Kumpulan 2
didapati Kanak-kanak An dan Kanak-kanak Ai hanya dapat menyebut 15 ayat sahaja
semasa aktiviti bermain boneka dijalankan. Sila rujuk Lampiran M dan Lampiran
N.
Rumusannya, hasil analisis
pemerhatian, mendapati bahawa kanak-kanak boleh bermain boneka dan
berkomunikasi bersama rakan-rakannya. Sepanjang aktiviti bermain boneka
dijalankan kanak-kanak dapat menyebut ayat dengan baik dan lancar. Kebolehan
kanak-kanak ini berbual antara satu sama lain menunjukkan bahawa kanak-kanak
ini dapat berkomunikasi dengan baik dengan menggunakan boneka. Justeru,
kanak-kanak berupaya meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan menggunakan
boneka.
Jadual 3: Perbezaan sebelum dan selepas intervensi
dijalankan bagi meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak
Kanak-kanak
|
Sebelum Intervensi (%)
|
Selepas Intervensi (%)
|
Jumlah Peningkatan (%)
|
Af
|
4.35
|
87.5
|
83.15
|
Fa
|
21.74
|
87.5
|
65.76
|
Ha
|
17.39
|
100
|
82.61
|
Hu
|
21.74
|
87.5
|
65.76
|
Ai
|
8.70
|
100
|
91.30
|
An
|
17.39
|
87.5
|
70.11
|
Jadual 3 menunjukkan jumlah
peratusan peningkatan penguasaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak iaitu
sebelum menjalankan intervensi dan selepas menjalankan intervensi. Kanak-kanak
Ai mendapat peratusan peningkatan tertinggi iaitu 91.30%. Peratusan peningkatan
yang kedua tertinggi pula adalah Kanak-kanak Af iaitu sebanyak 83.15% dan diikui pula oleh Kanak-kanak Ha sebanyak
82.61%. Kanak-kanak An mendapat 70.11% peningkatan setelah menjalankan
intervensi. Jumlah peratusan peningkatan yang terendah adalah Kanak-kanak Fa
dan Kanak-kanak Hu iaitu sebanyak 65.76% sahaja.
Rajah
1: Hasil penggunaan boneka meningkatkan keupayaan kemahiran
berkomunikasi kanak-kanak
Rajah 1 menunjukkan hasil penggunaan boneka dapat meningkatkan
keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak. Hasil analisis selepas menjalankan intervensi
menggunakan alat kajian soal selidik dan pemerhatian yang dijalankan terhadap
kanak-kanak mendapati bahawa kanak-kanak dapat menjawab soalan yang diberikan
kepada mereka dengan menggunakan boneka. Kanak-kanak juga didapati boleh
bermain boneka dan berkomunikasi bersama rakan-rakannya. Kebolehan kanak-kanak
ini menjawab soalan dan berbual bersama rakan menunjukkan bahawa kanak-kanak
ini berupaya meningkatkan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak. Berbanding
dengan hasil dapatan pemerhatian sebelum
intervensi dijalankan didapati bahawa kurang memberikan respon yang baik semasa
sesi pengajaran dan pembelajaran. Kanak-kanak ini tidak memberikan idea atau
pendapat apabila diminta oleh guru. Kanak-kanak ini tidak mahu melibatkan diri
secara aktif dalam aktiviti yang telah dijalankan oleh guru semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran.
Persoalan
Kajian Kedua: Adakah penggunaan boneka dapat meningkatkan bilangan
perbendaharaan kata kanak-kanak? Hasil analisis temu bual yang dijalankan telah
dapat mengenal pasti peningkatan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak
dengan menggunakan boneka.
Jadual
4.1: Hasil analisis temu bual
menceritakan semula cerita Kumpulan 1 bagi cerita Kera menjadi Raja
Kanak-kanak
|
Af
|
Fa
|
Ha
|
Skor
|
7/10
|
8/10
|
10/10
|
Peratusan (%)
|
70
|
80
|
100
|
Jadual 4.2:
Hasil analisis temu bual menceritakan semula cerita Kumpulan 2 bagi
cerita Kancil dan Buaya
Kanak-kanak
|
Hu
|
Ai
|
An
|
Skor
|
9/10
|
10/10
|
7/10
|
Peratusan (%)
|
90
|
100
|
70
|
Berasaskan kedua-dua jadual yang
diperoleh, hasil analisis kajian mendapati bahawa terdapat dua orang
kanak-kanak memperolehi 100% dengan skor 10/10 iaitu Kanak-kanak Ha dan
Kanak-kanak Ai. Seorang kanak-kanak mendapat skor 9/10 atau 90% iaitu
Kanak-kanak Hu dan skor 8/10 atau 80% iaitu Kanak-kanakFa. Namun begitu,
terdapat dua orang kanak-kanak mendapat 70% dengan skor 7/10 iaitu Kanak-kanak
Af dan Kanak-kanak An.
Rumusannya, hasil analisis temu
bual mendapati bahawa kanak-kanak ini dapat menjawab soalan yang telah
dikemukakan dengan baik dan betul. Kanak-kanak ini juga dapat menceritakan
semula cerita dengan menggunakan boneka. Maksud cerita yang disampaikan oleh
kanak-kanak juga membawa maksud yang sama seperti yang telah diperdengarkan
oleh penyelidik. Kebolehan kanak-kanak ini bercerita semula cerita menunjukkan
bahawa komunikasi kanak-kanak dapat ditingkatkan dengan menggunakan boneka.
Justeru, peningkatan berkomunkasi
kanak-kanak ini telah menunjukkan bahawa bilangan perbendaharaan kata
kanak-kanak juga meningkat dengan menggunakan boneka.
Jadual 5: Perbezaan sebelum dan selepas intervensi
dijalankan bagi meningkatkan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak
Kanak-kanak
|
Sebelum intervensi (%)
|
Selepas intervensi (%)
|
Jumlah Peningkatan (%)
|
Af
|
0
|
70
|
69
|
Fa
|
61.1
|
80
|
18.9
|
Ha
|
66.7
|
100
|
33.3
|
Hu
|
72.2
|
90
|
17.8
|
Ai
|
44.4
|
100
|
55.6
|
An
|
66.7
|
70
|
3.3
|
Jadual 5 menunjukkan peratusan
peningkatan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak sebelum dan selepas
menjalankan intervensi. Kanak-kanak Af mendapat peratusan peningkatan tertinggi
iaitu sebanyak 69%. Kanak-kanak Ai mendapat peratusan peningkatan kedua
tertinggi iaitu sebanyak 55.6%. Peratusan peningkatan yang ketiga tertinggi
adalah Kanak-kanak Ha iaitu sebanyak 33.3% dan diikuti oleh Kanak-kanak Fa
mendapat 18.9%. Kanak-kanak Hu mendapat 17.8% peningkatan selepas dijalankan
intervensi. Manakala Kanak-kanak An hanya mendapat peratusan peningkatan
sebanyak 3.3% sahaja yang merupakan jumlah peratus peningkatan yang terendah.
Rajah 2: Hasil penggunaan boneka meningkatkan bilangan
perbendaharaan kata kanak-kanak
Rajah 2 menunjukkan hasil penggunaan boneka dapat
meningkatkan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak. Hasil
analisis selepas menjalankan intervensi
menggunakan alat kajian temu bual pula mendapati bahawa kanak-kanak ini dapat
menjawab soalan yang telah diberikan kepada mereka dengan betul dan lancar
dengan menggunakan boneka. Kanak-kanak ini juga dapat bercerita semula cerita
yang telah diperdengarkan oleh penyelidik dengan menggunakan boneka. Kebolehan
kanak-kanak ini menceritakan semula cerita menunjukkan bahawa peningkatan
bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak. Berbanding dengan hasil dapatan temu
bual sebelum intervensi dijalankan
mendapati bahawa kanak-kanak ini kurang memberikan respons apabila dikemukakan
soalan kepada mereka. Hasil temubual telah menunjukkan jumlah kekerapan
menjawab soalan adalah rendah menunjukkan kekurangan bilangan perbendaharaan
kata kanak-kanak menyukarkan kanak-kanak untuk berkomunikasi.
Dansky
dan Silverman (1975) juga telah membuktikan bahawa terdapat satu hubungan
antara main dengan kefasihan perkaitan, iaitu kanak-kanak yang dibenarkan main
dengan objek akan menggunakan objek tersebut dengan cara lebih kreatif. Malah
main menerbitkan keupayaan menghubungkaitkan pelbagai objek tidak kira sama ada
objek tersebut telah digunakan dalam aktiviti main atau tidak. Begitu juga
aktiviti main membekalkan peluang adaptasi imaginatif kepada kanak-kanak untuk
mengendalikan pengalaman mereka dan melatih keupayaan kognitif mereka yang
berguna pada masa hadapan.
Kesimpulannya,
hasil analisis mendapati bahawa penggunaan boneka dapat meningkatkan keupayaan
kemahiran berkomunikasi kanak-kanak. Penggunaan boneka juga dapat meningkatkan
bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak.
PERBINCANGAN
DAN IMPLIKASI KAJIAN
Berdasarkan dapatan kajian, kanak-kanak berupaya
berkomunikasai dengan lancar dan jelas dengan menggunakan boneka. Kajian yang
telah dijalankan terhadap kanak-kanak didapati meningkatkan keupayaan kemahiran
berkomunikasi kanak-kanak dan meningkatkan bilangan perbendaharaan kata
kanak-kanak melalui aktiviti bermain boneka.
Didapati bahawa kanak-kanak dapat
menjawab soalan yang diberikan kepada meraka dengan menggunakan boneka.
Kebolehan kanak-kanak ini menjawab soalan yang diberikan menunjukkan
peningkatan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak. Hasil kajian ini
menyokong pandangan Selathurai Nadeson (1982), menerangkan bahawa pepatung (puppet show) boleh digunakan untuk
menerangkan atau menghuraikan sesuatu, memberi arahan, mengucapkan sesuatu yang
lucu, bercerita, menyoal dan juga untuk mencipta situasi-situasi drama yang
melibatkan kanak-kanak.
Selain itu, didapati bahawa
kanak-kanak ini boleh bermain boneka bersama rakan-rakannya. Kebolehan
kanak-kanak ini berbual antara satu sama lain menunjukkan bahawa kanak-kanak
ini berupaya meningkatkan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak. Hasil kajian ini
menyokong pandangan Zaharatullaili (2006), menyatakan bermain dengan boneka
dapat memberi peluang dan kebebasan kepada kanak-kanak untuk mengembangkan
potensi masing-masing berdasarkan tahap kebolehan dan kemahiran mereka. Teknik
yang berkesan dapat membantu kanak-kanak dalam perkembangan bahasa, emosi,
sosial, komunikasi, fizikal dan pengetahuan kanak-kanak.
Tambahan lagi, didapati bahawa
kanak-kanak ini boleh menjawab soalan yang telah dikemukakan kepada mereka
melalui penceritaan semula cerita menggunakan boneka. Kebolehan kanak-kanak ini
menceritakan semula cerita menunjukkan bahawa peningkatan bilangan
perbendaharaan kata kanak-kanak. Hasil kajian ini menyokong pandangan Azizah (1995), menyatakan bahawa
kanak-kanak mempunyai cara belajar yang tersendiri. Mereka suka meneroka
perkara-perkara baru yang menarik perhatian mereka. Perkara-perkara ini boleh
merangsang pemikiran mereka.
Implikasi
hasil penyelidikan mendapati bahawa
kanak-kanak dapat bercerita kepada rakan-rakan dan guru dengan yakin dan
berani. Kanak-kanak berupaya berkomunikasi dengan lancar dan jelas. Bilangan
perkataan yang digunakan oleh kanak-kanak juga bertambah daripada sebelum
menggunakan boneka. Berdasarkan penemuan hasil kajian, penyelidik ingin
mengemukakan empat kajian yang boleh dijalankan pada masa akan datang seperti
berikut.
1. Kajian
yang dilaksanakan ini hanya dilaksanakan terhadap kanak-kanak yang berbangsa
Melayu sahaja. Penyelidik mencadangkan agar kajian seterusnya dilaksanakan
terhadap kanak-kanak yang berbangsa lain seperti Bangsa Cina dan Bangsa India
bagi meningkatkan keupayaan berkomunikasi kanak-kanak berbangsa Cina dan berbangsa
India.
2. Kajian
yang dijalankan ini hanya dijalankan di dalam kelas tanpa menggunakan pentas.
Penyelidik mencadangkan agar kajian seterusnya menjalankan kajian boneka dengan
menggunakan pentas boneka yang lebih menarik dan kreatif.
3. Kajian
dilaksanakan ini adalah hanya menumpukan kepada aspek penggunaan boneka bagi
meningkatkan keupayaan berkomunikasi kanak-kanak. Penyelidik mencadangkan agar
kajian seterusnya dijalankan bagi meningkatkan daya ingatan kanak-kanak dan
meningkatkan hubungan sosioemosi kanak-kanak.
4. Kajian
yang dijalankan ini hanya menggunakan boneka haiwan sahaja. Penyelidik
mencadangkan agar kajian seterusnya menggunakan jenis boneka yang seperti
boneka watak manusia seperti boneka kanak-kanak, boneka ibu bapa dan boneka
watak pekerjaan. Aktiviti ambil peranan (main peranan) yang berlaku dalam main
dramatik dapat menyumbang kepada salah satu aspek perkembangan sosial iaitu keupayaan
untuk melihat dunia dari perspektif orang lain.
Kesimpulannya,
kajian yang seterusnya perlu dilaksanakan agar dapat menarik minat kanak-kanak untuk
belajar di prasekolah. Loy (2004) menyifatkan teater boneka sebagai belajar melalui
bermain. Dapatan kajian beliau menunjukkan bahawa boneka sarung tangan sangat
menarik dan mudah dikendalikan oleh kanak-kanak serta dapat menarik minat dan
memikat hati kanak-kanak. Penggunaan teknik pengajaran dan pembelajaran yang
sesuai dan berkesan dapat membantu kanak-kanak dalam meningkatkan perkembangan
bahasa, emosi, sosial, komunikasi, fizikal dan pengetahuan kanak-kanak.
RUJUKAN
______________
(2007). Kamus dewan edisi keempat.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusaka.
Azizah
Lebai Nordin. (1995). Pengajaran
pembelajaran prasekolah, masalah pendidikan, Jilid 19, Fakulti Pendidikan,
Universiti Malaya.
Baran,
S.J. & Davis, K.D. (2000). Mass
communication theory: foundations, ferment and future. Belmont: Wadsworth.
Brewer,
J.A. (1992). Introduction to early childhood
education: preschool through primary grades. Boston: Allyn and Bacon.
Dansky,
J.B. & Silverman, I.W. (1975). Play:
a general facilitator of associative fluency. Developmental Psychology, 11,
104.
Elliott,
J. & Adelman, C. (1976). Innovation
at the classroomlevel: A case study of the Ford teaching project. Curriculum
Design and Development. Open University Press.
Emery,
E.; P. Ault & W. Ageel. (1973). Introductionto
mass communication. New York: Dodd, Mead and Co.
Feldman,
J.R. (1991). A survival guide for
preschool teacher. The Center for Applied Research in Education. New York.
Gagne,
R.M. (1970). The condition of learning.
New York: Holt, Rineheart & Winston.
Kementerian
Pelajaran Malaysia. (2009). Kurikulum
standard prasekolah kebangsaan. Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.
Levy,
Ak. (1984). The language of play: the role of play in language development. Early Child Development and Care, 17,
49-69
Loy,
C.L. (2004). Teater boneka sarung tangan
di Perpustakaan Negara Malaysia: Unsur-unsur pendidikan dan teknik persembahan.
Kuala Lumpur: Pusat Kebudayaan Universiti Malaya
Piaget,
J. (1963). The origins of intelligence in
children. (M. Cook, Trans). New York: Norton.
Schramm,
W. (1954). The Nature of Communication between humans dalam Scharmm, W. &
D. Robert, Eds. The process and effect of
mass communication Op. Cit.
Selathurai
Nadeson. (1982). Peranan drama/lakonan dan ‘role playing’ dalam bidang
pengajaran dan pembelajaran, Keluaran 64, Jilid XXVVII Disember 1982, Jurnal Kementerian Pelajaran Malaysia,
Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan.
Zaharatullaili
Mohd Daud. (2006). Penggunaan boneka
dalam pengajaran dan pembelajaran prasekolah di Daerah Raub satu tinjauan KSPK.
Kuala Lumpur: Institut Bahasa Melayu Malaysia.
Zurinah
Ahmad &
Mohamad Iman Arif. (2004). Pendidikan Pra
Sekolah. Kuala Lumpur: Jade Green Publications Sdn. Bhd.
Laporan penuh boleh diperoleh dalam Jurnal Semarak Bahasa, Bil. 3/2010
IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.
Subscribe to:
Posts (Atom)