Friday, July 6, 2012

CONTOH KAJIAN TINDAKAN : 




PENGGUNAAN BONEKA BAGI MENINGKATKAN KOMUNIKASI KANAK-KANAK DI PRASEKOLAH

Mohd Fhayrus Bin Abdullah
IPG Kampus Bahasa Melayu
Sekolah Kebangsaan LKTP, Tembangau 3,
Kemayan, Pahang Darul Makmur

ABSTRAK

Kajian ini adalah kajian tindakan yang dijalankan bagi meningkatkan komunikasi kanak-kanak di prasekolah dengan menggunakan boneka. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan keupayaan berkomunikasi kanak-kanak dengan lancar dan jelas. Objektif kajian ini untuk meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak dan meningkatkan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak. Soal selidik, temu bual dan pemerhatian digunakan sebagai instrumen kajian. Instrumen ini digunakan bagi mengenal pasti peningkatan keupayaan komunikasi kanak-kanak. Responden kajian terdiri daripada enam orang kanak-kanak prasekolah. Data dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif (kekerapan, peratusan dan petikan perbualan). Hasil refleksi, menunjukkan bahawa masalah komunikasi yang dihadapi oleh kanak-kanak ini berpunca daripada kekurangan penguasaan bilangan perbendaharaan kata. Tambahan lagi,  kanak-kanak ini tidak mempunyai kemahiran berkomunikasi. Boneka digunakan untuk membantu kanak-kanak mengatasi masalah yang dihadapi iaitu meningkatkan keupayaan komunikasi dan menambahkan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak. Dalam intervensi ini, kanak-kanak diberi kebebasan untuk memilih boneka. Kanak-kanak dan guru menjalankan aktiviti bercerita dengan menggunakan boneka. Kanak-kanak juga menggunakan boneka untuk menjawab soalan yang di kemukakan kepadanya. Selain itu, kanak-kanak juga berpeluang untuk bermain boneka bersama-sama rakan. Implikasinya, kanak-kanak dapat bercerita kepada rakan-rakan dan guru dengan yakin dan berani. Bilangan perkataan yang digunakan oleh kanak-kanak juga bertambah berbanding sebelum menggunakan boneka. Penggunaan boneka semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan keupayaan komunikasi kanak-kanak di samping meningkatkan bilangan perbendaharaan kata yang dikuasai mereka.

ABSTRACT

This is a study on how to enhance the communication skills of preschool children using puppets. The purpose of this study is to improve the children’s ability to communicate fluently and clearly. The objective of this study is to increase the development of the children’s communication skills and to increase their vocabulary. The research instruments are supported by questionnaires, interviews and observations. The respondents comprise of six-selected preschool children and the data is analysed using descriptive analysis (recorded dialogues, percentage and frequency). Through the results of reflection, the research outcome indicates that one of the major communication problems among children is lack of vocabulary. In addition, these children do not have the communication skills. Using puppets would help to solve the problems faced by these children in improving their communication skills and vocabulary. Through intervention, the children are given the freedom to choose a puppet. The children and teachers then engage in conversations using puppets. The children also use the puppets to answer questions. In addition, these children have the opportunity to play puppets with friends. The results show that, the child can talk to friends and teachers with confidence and courage. The numbers of words used by these children have increased from the use of puppets. Overall, based on the research carried out, introducing a new method of teaching, especially by using puppets, helped to increase their ability in developing communication. The use of puppets has increased the ability of communication skills and vocabulary among these children.

PENGENALAN

Kajian yang dilaksanakan ini adalah berkaitan dengan penggunaan boneka terhadap murid prasekolah di salah sebuah sekolah di Selangor Darul Ehsan. Kajian ini dilaksanakan bagi melihat tahap pencapaian kanak-kanak untuk berkomunukasi. Tajuk kajian ini adalah Penggunaan Boneka Bagi Meningkatkan Komunikasi Kanak-Kanak Di Prasekolah. Kajian ini telah dilaksanakan terhadap enam orang kanak-kanak prasekolah tersebut. Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk meningkatkan keupayaan berkomunikasi dengan lancar dan jelas. Kajian ini telah menggunakan boneka jenis sarung tangan. Boneka-boneka yang telah digunakan dalam kajian ini mengambarkan watak-watak haiwan. Sebanyak 11 buah boneka sarung tangan yang telah digunakan dalam kajian ini iaitu  boneka ayam, itik, monyet, panda, pinguin, katak, lembu, tikus, tupai, buaya, dan ular.

Menurut kamus dewan edisi keempat (2007), boneka adalah patung misalnya orang atau binatang yang boleh digerakkan dengan menarik tali yang dilekatkan padanya atau dengan memasukkan tangan ke dalam badannya dan menggerakkannya. Zurinah dan Mohamad Iman (2004), pelbagai bentuk boneka boleh dihasilkan sama ada daripada kertas atau kain. Setiap kali bercerita, boneka dijadikan modul penceritaan. Dengan ini segala bentuk penceritaan lebih mudah difahami. Kemudian kanak-kanak menggunakan boneka tersebut untuk melahirkan watak-watak yang berbeza. Cara ini juga lebih berkesan terutama untuk memastikan imaginasi kanak-kanak dapat dilahirkan melalui penceritaan.

Komunikasi pula adalah  perhubungan secara langsung atau dengan perantara surat, radio, telefon, dan lain-lain. (Kamus dewan edisi keempat, 2007). Emery, Ault dan Ageel (1973) menyatakan komunikasi adalah salah satu seni menyalurkan maklumat, idea-idea dan sikap-sikap dari seseorang kepada seseorang yang lain. Definisi ini megutamakan penyaluran sesuatu daripada seseorang individu kepada individu lain.

Menurut Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (2009),  kanak-kanak prasekolah sepatutnya menguasai kemahiran komunikasi. Hal ini adalah kerana di dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan menekankan aspek komunikasi melalui Tunjang Komunikasi Bahasa Malaysia. Kemahiran komunikasi prasekolah mempunyai lima standard kandungan iaitu BM2.1 berinteraksi dengan mesra, BM2.2 bersoal jawab melalui rangsangan yang diberi, BM2.3 melafazkan puisi dengan intonasi yang betul, BM2.4 menceritakan perkara yang didengar dan BM2.5 melakonkan watak-watak mengikut situasi.

Komunikasi mempunyai kepentingan kepada kehidupan kita seharian. Menurut Baran dan Davis (2000) komunikasi dapat menyebarkan informasi dan amaran, menjalinkan hubungan dengan kelompok-kelompok di dalam masyarakat, transmisi budaya masyarakat dan hiburan. Komunikasi dapat menyebarkan informasi semasa dan terkini mengenai keadaan persekitaran manusia. Ianya juga bertindak menyampaikan amaran yang berupa peringatan kepada sesebuah masyarakat atau kelompok yang terbabit.

Melalui pengalaman pengajaran di prasekolah ini, didapati  bahawa terdapat beberapa orang kanak-kanak yang kurang berkomunikasi dan tidak aktif semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan di dalam kelas. Hasil refleksi pengajaran, kanak-kanak bermasalah komunikasi ini kurang memberikan respon yang baik semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Kanak-kanak ini tidak memberikan idea atau pendapat apabila diminta oleh guru. Kenyataan ini disokong dengan hasil pemerhatian yang dijalankan, didapati bahawa jumlah kekerapan kanak-kanak menjawab soalan yang telah dikemukakan adalah rendah iaitu hanya 5 soalan daripada 23 soalan yang telah dikemukakan sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran. Pemerhatian telah dijalankan sebanyak tiga kali. Sehubungan ini, purata soalan yang mendapat respon daripada kanak-kanak ialah 7 soalan.

Di samping itu, hasil perbualan bersama keenam-enam kanak-kanak ini didapati bahawa kanak-kanak ini kurang memberikan respon apabila dikemukakan soalan kepada mereka. Perbualan ini dijalankan secara individu. Hasil temubual telah menunjukkan jumlah kekerapan menjawab soalan adalah rendah. Didapati, tidak semua soalan yang diberikan dapat dijawab oleh kanak-kanak. Sebanyak 18 soalan telah dikemukakan kepada setiap individu kanak-kanak. Jumlah jawapan yang paling tinggi yang dapat dijawab oleh kanak-kanak adalah sebanyak 14 soalan sahaja. Namun begitu, menurut Penjaga kepada Kanak-kanak Af mengatakan anaknya tidak berdiam diri di rumah seperti yang telah berlaku di kelas prasekolah. Anaknya juga selalu mengulangi perkataan-perkataan atau perkara-perkara yang telah dipelajarinya di sekolah. Antaranya adalah seperti ucapan terima kasih. “Terima kasih Cikgu Z” dan menyanyi lagu kanak-kanak. Begitu juga dengan penjaga kanak-kanak Hu mengatakan anaknya sering melakonkan semula aktiviti yang telah dijalankan di sekolah bersama guru. Kenyataan ini dapat menunjukkakan bahawa kanak-kanak ini merupakan kanak-kanak yang normal seperti kanak-kanak yang lain kerana dapat berkomunikasi dengan baik di rumah berbanding di sekolah. Kanak-kanak ini tidak mengalami masalah berkomunikasi seperti kanak-kanak berkeperluan khas. Kanak-kanak ini hanya bermasalah untuk berkomunikasi ketika sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Justeru, didapati bahawa keenam-enam orang kanak-kanak yang telah diperhatikan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan adalah menunjukkan bahawa keenam-enam kanak-kanak ini mengalami masalah berkomunikasi. Kanak-kanak tersebut adalah Kanak-kanak Af, Kanak-kanak Fa, Kanak-kanak Ha, Kanak-kanak Hu, Kanak-kanak Ai, dan Kanak-kanak An. Masalah berkomunikasi yang dihadapi oleh kanak-kanak ini adalah kekurangan penguasaan bilangan perbendaharaan kata. Tambahan lagi, kanak-kanak ini tidak mempunyai kemahiran berkomunikasi.

Model Komunikasi Wilbur Schramm (1954) merupakan penyelidik komunikasi massa yang ulung. Menurut Scharmm komunikasi di antara sumber dan penerimaan hanya tertumpu kepada perkara-perkara yang kedua-duanya mempunyai pengalaman yang sama. Hanya utusan yang difahami oleh kedua-dua pihak sahaja yang akan dapat membantu keberkesanan komunikasi. Proses komunikasi yang berkesan hanya boleh berlaku jika terdapat pertindihan pengalaman dan bahasa antara dua pihak iaitu di antara sumber dengan destinasi. Ini adalah kerana rangsangan dienkod dan mesej didekod jika penyampai mesej dan penerima mesej mempunyai pengalaman dan aras bahasa yang sama.

Kaedah belajar melalui bermain telah diaplikasikan menggunakan boneka. Dalam kajian ini, kanak-kanak bermain menggunakan boneka. Feldman (1991), menyatakan kanak-kanak belajar secara semula jadi. Mereka ingin tahu, berminat, bersemangat dan memberi perhatian bagi mempelajari perkara-perkara baharu. Cara yang terbaik mengajar kanak-kanak adalah melalui bermain dan gaya pembelajaran mereka yang semula jadi. Friederich Wilhelm Frobel (1782-1852) yakin permainan yang sesuai dapat membantu kanak-kanak berfikir berkenaan interaksi antara ‘kehidupan dan aktiviti sendiri, pemikiran dan tindakan, perwakilan dan kognisi serta kebolehan dan pemahaman’. (Brewer,1992)

Robert M. Gagne (1970), menyatakan pembelajaran bergerak dari yang paling mudah menuju kepada yang rumit. Pembelajaran pada aras yang tinggi bergantung kepada pembelajaran pada aras yang rendah. Pada mulanya kanak-kanak bermain boneka secara bersendirian. Ketika ini kanak-kanak hanya akan berkomunikasi dengan dirinya sahaja. Bahan perbualan juga berkaitan dengan dirinya sahaja. Kemudian kanak-kanak akan bermain bersama rakan-rakan yang berada dipersekitarannya. Komunikasi yang lebih baik berlaku apabila kanak-kanak bermain boneka bersama. Kanak-kanak akan berkongsi pengalaman masing-masing. Perkataan yang lebih kompleks digunakan dalam perbualan mereka. Seterusnya, kanak-kanak dapat menambahkan bilangan perbendaharaan kata mereka.

Objektif Umum

Objektif umum kajian adalah meningkatkan keupayaan berkomunikasi kanak-kanak dengan lancar dan jelas.

Objektif Khusus

Objektif khusus kajian ini adalah seperti berikut.

 i.    Meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak.
ii.    Meningkatkan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak.

Soalan Kajian

Persoalan kajian ini adalah seperti berikut.

i.          Adakah penggunaan boneka dapat meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak?
ii.        Adakah penggunaan boneka dapat meningkatkan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak?


TINJAUAN LITERATUR

Menurut kamus dewan edisi keempat (2007), boneka adalah patung misalnya orang atau binatang yang boleh digerakkan dengan menarik tali yang dilekatkan padanya atau dengan memasukkan tangan ke dalam badannya dan menggerakkannya. Manakala komunikasi pula adalah  perhubungan secara langsung atau dengan perantara surat, radio, telefon, dan lain-lain. (Kamus dewan edisi keempat, 2007). Menurut Emery, Ault dan Ageel (1973), menyatakan komunikasi adalah salah salah satu seni menyelurkan maklumat, idea-idea dan sikap-sikap dari seseorang kepada seseorang yang lain. Definisi ini megutamakan penyaluran sesuatu daripada seseorang individu kepada individu lain.

Kajian ini berlandaskan Teori Perkembangan Jean Piaget (1963) yang menyatakan ketika peringkat praoperasi iaitu ketika kanak-kanak menjagkau usia dua tahun hingga tujuh tahun, kanak-kanak menggunakan simbol untuk mewakili objek-objek yang dilihat di sekelilingnya. Kanak-kanak mula bertutur tetapi pertuturannya bersifat egosentrik. Topik perbualannya adalah berkisar tentang dirinya sendiri. Kanak-kanak juga tidak berminat untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain. Pada peringkat ini juga, kanak-kanak enggan menerima pendapat orang lain. Boneka digunakan untuk membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak dalam meningkatkan keupayaan komunikasi dan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak.

Selathurai Nadeson (1982), menerangkan bahawa pepatung (puppet show) boleh digunakan untuk menerangkan atau menghuraikan sesuatu, memberi arahan, mengucapkan sesuatu yang lucu, bercerita, menyoal dan juga untuk mencipta situasi-situasi drama yang melibatkan kanak-kanak. Pepatung akan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memperkayakan dan menambahkan kemahiran bahasa dan juga memberi peluang untuk perkembangan kemahiran imaginatif. Zaharatullaili (2006) telah menjalankan kajian mengenai penggunaan boneka telah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan prasekolah. Boneka merupakan salah satu bahan bantu yang dapat menarik minat dan perhatian kanak-kanak terhadap pembelajaran kerana sifat semula jadi kanak-kanak itu yang sukakan boneka. Bermain dengan boneka dapat memberi peluang dan kebebasan kepada kanak-kanak untuk mengembangkan potensi masing-masing berdasarkan tahap kebolehan dan kemahiran mereka. Kajian beliau mendapati teknik penggunaan boneka yang berkesan dapat membantu kanak-kanak dalam perkembangan bahasa, emosi, sosial, komunikasi, fizikal dan pengetahuan kanak-kanak.

Azizah (1995), menyatakan bahawa kanak-kanak mempunyai cara belajar yang tersendiri. Mereka suka meneroka perkara-perkara baru yang menarik perhatian mereka. Perkara-perkara ini boleh merangsang pemikiran mereka. Mereka belajar dengan membuat ‘learning by doing’, aktiviti yang mereka sendiri lakukan sangat penting. Mereka suka mencari dan mendapatkan maklumat dari diri mereka dan alam sekeliling. Mereka belajar dari tindakan mereka sendiri. Kanak-kanak juga suka mengikut contoh orang dewasa. Satu daripada strategi yang sesuai dalam pembelajaran kanak-kanak ialah bermain sambil belajar. Levy (1984), yang telah membuat kajian semula terhadap kajian-kajian lepas yang melibatkan hubungan main dengan perkembangan bahasa telah membuat kesimpulan seperti berikut.
                    i.        Main memberangsangkan inovasi dalam bahasa
                  ii.        Main memperkenalkan dan menerangkan perkataan dalam konsep yang baru
                iii.        Main menghubungkaitkan penggunaan dan praktis bahasa
                 iv.        Main memperkembangkan kesedaran metalinguistik
                   v.        Main menggalakkan pemikiran secara lisan
Kajian beliau mendapati main dapat memperkembangkan bahasa kanak-kanak. Penggunaan boneka merupakan salah satu cara kanak-kanak bermain. Kanak-kanak dapat menigkatkan meningkatkan keupayaan komunikasi dan bilangan perbendaharaan kata dengan bermain boneka.

Sebagai rumusannya, penggunaan boneka dalam kajian ini ialah untuk meningkatkan keupayaan kanak-kanak berkomunikasi dengan lancar dan jelas. Penggunaan boneka ini adalah merangkumi kanak-kanak dan guru bercerita dengan menggunakan boneka. Kanak-kanak juga menggunakan boneka untuk menjawab soalan yang di kemukakan kepadanya dan kanak-kanak berpeluang untuk bermain boneka bersama rakan-rakan.

METODOLOGI

Kajian tindakan ini melibatkan seramai enam orang kanak-kanak prasekolah di salah sebuah sekolah di Selangor. Kanak-kanak ini terdiri daripada tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan. Kanak-kanak ini berbangsa Melayu dan beragama Islam. Kanak-kanak ini berumur dalam lingkungan lima hingga enam tahun. Kanak-kanak ini belajar dalam sebuah kelas yang sama.

         Elliot dan Adelman (1976) mendefinisikan kajian tindakan dalam bidang pendidikan sebagai satu pendekatan penyelidikan yang berusaha mempertingkatkan mutu profesionalisme pendidik dengan cara menyelidik situasi sosial dan institusi pendidikan, dan tujuan kajian tindakan ialah membaiki kualiti amalan harian. Temu bual dan pemerhatian digunakan sebagai instrumen kajian. Instrumen ini digunakan bagi mengenal pasti peningkatan keupayaan komunikasi kanak-kanak.

         Dalam intervensi yang telah dijalankan, kanak-kanak diberi kebebasan untuk memilih boneka. Kanak-kanak dan guru bercerita dengan menggunakan boneka. Kanak-kanak juga menggunakan boneka untuk menjawab soalan yang di kemukakan kepadanya. Selain itu, kanak-kanak berpeluang untuk bermain boneka bersama rakan-rakan.

         Alat kajian soal selidik digunakan bagi mengenal pasti keupayaan komunikasi kanak-kanak. Kanak-kanak dibahagi kepada dua kumpulan. Cerita disampaikan kepada kanak-kanak. Sebanyak lapan buah soalan telah disediakan berdasarkan skrip cerita. Setiap orang kanak-kanak dikehendaki menjawab soalan yang diberikan kepadanya dengan menggunakan boneka. Dalam masa yang sama penyelidik turut menggunakan boneka ketika mengemukakan soalan kepada kanak-kanak. Hasil dapatan soal selidik dicatatkan pada borang soal selidik.

         Selain itu, alat kajian pemerhatian juga digunakan semasa kanak-kanak bermain boneka bersama rakan-rakan. Kanak-kanak dibahagi kepada dua kumpulan. Kanak-kanak diberi pilihan untuk memilih boneka untuk digunakan. Pemerhatian dijalankan terhadap kanak-kanak ketika kanak-kanak bermain boneka. Pemerhatian dicatatkan menggunakan nota lapangan Pemerhatian juga digunakan untuk mengenal pasti keupayaan komunikasi kanak-kanak.

         Di samping itu, alat kajian temu bual bersemuka dijalankan terhadap kanak-kanak. Cerita disampaikan kepada kanak-kanak. Sebanyak tiga buah soalan telah disediakan berdasarkan skrip cerita. Setiap orang kanak-kanak dikehendaki menjawab soalan yang diberikan kepadanya dengan menggunakan boneka. Dalam masa yang sama penyelidik turut menggunakan boneka ketika mengemukakan soalan kepada kanak-kanak. Penggunaan perbendaharaan kata kanak-kanak dicatatkan pada borang yang telah disediakan. Temu bual berstruktur digunakan untuk mendapatkan maklumat mengenai penggunaan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak.


KEPUTUSAN

Persoalan Kajian Pertama: Adakah penggunaan boneka dapat meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak? Hasil analisis soal selidik dan pemerhatian yang dijalankan telah dapat mengenal pasti keupayaan berkomunikasi kanak-kanak dengan menggunakan boneka.

Jadual 1.1: Hasil analisis soal selidik terhadap kanak-kanak Kumpulan 1 dengan menggunakan cerita Kera menjadi Raja

Jawapan
Kanak-kanak Af
Kanak-kanak Fa
Kanak-kanak Ha
Benar
Salah
Benar
Salah
Benar
Salah
Jumlah Skor
7/8
1/8
7/8
1/8
8/8
0/8
Peratusan (%)
87.5
12.5
87.5
12.5
100
0

Jadual 1.2: Hasil analisis soal selidik terhadap kanak-kanak Kumpulan 2 dengan menggunakan cerita Kancil dan Buaya

Jawapan
Kanak-kanak Hu
Kanak-kanak Ai
Kanak-kanak An
Benar
Salah
Benar
Salah
Benar
Salah
Jumlah Skor
7/8
1/8
8/8
0/8
7/8
1/8
Peratusan (%)
87.5
12.5
100
0
87.5
12.5

            Berasaskan kedua-dua jadual yang diperoleh, didapati dua orang kanak-kanak mendapat peratusan 100% iaitu Kanak-kanak Ha dan Kanak-kanak Ai. Kedua-dua orang kanak-kanak ini telah berjaya menjawab kesemua soalan yang diberikan kepadanya dengan betul berdasarkan cerita yang telah diperdengarkan. Manakala Kanak-kanak Af, Kanak-kanak Fa, Kanak-kanak Hu, dan Kanak-kanak An dapat menjawab dengan betul tujuh soalan dengan betul daripada lapan soalan yang diberikan. Empat orang kanak-kanak ini mendapat peratusan 87.5%. Seperti pada Lampiran P dan Lampiran Q.
Rumusannya, hasil analisis penyoalan yang telah dijalankan terhadap kanak-kanak mendapati bahawa kanak-kanak dapat menjawab soalan yang diberikan kepada mereka dengan baik dengan menggunakan boneka. Kebolehan kanak-kanak ini menjawab soalan yang diberikan menunjukkan bahawa kanak-kanak ini dapat berkomunikasi dengan baik  dengan menggunakan boneka. Justeru, penggunaan boneka dapat meningkatan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak.

Jadual 2.1: Hasil analisis pemerhatian terhadap kanak-kanak bermain boneka bagi Kumpulan 1.

Kanak-kanak
Jumlah bilangan ayat yang disebut oleh kanak-kanak
Af
12
Fa
20
Ha
20

Jadual 2.2: Hasil analisis pemerhatian terhadap kanak-kanak bermain boneka bagi Kumpulan 2.

Kanak-kanak
Jumlah bilangan ayat yang disebut oleh kanak-kanak
Hu
19
Ai
15
An
15

Berasaskan kedua-dua jadual yang diperoleh, hasil kajian mendapati bahawa jumlah bilangan ayat yang tertinggi yang telah dapat disebut oleh kanak-kanak adalah sebanyak 20 ayat iaitu dicapai oleh Kanak-kanak Ha dan Kanak-kanak Fa bagi Kumpulan 1. Manakala jumlah bilangan ayat yang tertinggi yang telah dapat disebut oleh kanak-kanak bagi kumpulan 2 adalah Kanak-kanak Hu iaitu 19 skor. Jumlah bilangan ayat yang terendah yang telah disebut oleh kanak-kanak ialah Kanak-kanak Af bagi Kumpulan 1 dengan hanya dapat menyebut sebanyak 12 sahaja. Manakala bagi Kumpulan 2 didapati Kanak-kanak An dan Kanak-kanak Ai hanya dapat menyebut 15 ayat sahaja semasa aktiviti bermain boneka dijalankan. Sila rujuk Lampiran M dan Lampiran N.

Rumusannya, hasil analisis pemerhatian, mendapati bahawa kanak-kanak boleh bermain boneka dan berkomunikasi bersama rakan-rakannya. Sepanjang aktiviti bermain boneka dijalankan kanak-kanak dapat menyebut ayat dengan baik dan lancar. Kebolehan kanak-kanak ini berbual antara satu sama lain menunjukkan bahawa kanak-kanak ini dapat berkomunikasi dengan baik dengan menggunakan boneka. Justeru, kanak-kanak berupaya meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan menggunakan boneka.



Jadual 3: Perbezaan sebelum dan selepas intervensi dijalankan bagi meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak

Kanak-kanak
Sebelum Intervensi (%)
Selepas Intervensi (%)
Jumlah Peningkatan (%)
Af
4.35
87.5
83.15
Fa
21.74
87.5
65.76
Ha
17.39
100
82.61
Hu
21.74
87.5
65.76
Ai
8.70
100
91.30
An
17.39
87.5
70.11

Jadual 3 menunjukkan jumlah peratusan peningkatan penguasaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak iaitu sebelum menjalankan intervensi dan selepas menjalankan intervensi. Kanak-kanak Ai mendapat peratusan peningkatan tertinggi iaitu 91.30%. Peratusan peningkatan yang kedua tertinggi pula adalah Kanak-kanak Af iaitu sebanyak 83.15%  dan diikui pula oleh Kanak-kanak Ha sebanyak 82.61%. Kanak-kanak An mendapat 70.11% peningkatan setelah menjalankan intervensi. Jumlah peratusan peningkatan yang terendah adalah Kanak-kanak Fa dan Kanak-kanak Hu iaitu sebanyak 65.76% sahaja.

 

Rajah 1:  Hasil penggunaan boneka meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak

Rajah 1 menunjukkan hasil penggunaan boneka dapat meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak. Hasil analisis selepas menjalankan intervensi menggunakan alat kajian soal selidik dan pemerhatian yang dijalankan terhadap kanak-kanak mendapati bahawa kanak-kanak dapat menjawab soalan yang diberikan kepada mereka dengan menggunakan boneka. Kanak-kanak juga didapati boleh bermain boneka dan berkomunikasi bersama rakan-rakannya. Kebolehan kanak-kanak ini menjawab soalan dan berbual bersama rakan menunjukkan bahawa kanak-kanak ini berupaya meningkatkan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak. Berbanding dengan hasil dapatan pemerhatian sebelum intervensi dijalankan didapati bahawa kurang memberikan respon yang baik semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Kanak-kanak ini tidak memberikan idea atau pendapat apabila diminta oleh guru. Kanak-kanak ini tidak mahu melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang telah dijalankan oleh guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Persoalan Kajian Kedua: Adakah penggunaan boneka dapat meningkatkan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak? Hasil analisis temu bual yang dijalankan telah dapat mengenal pasti peningkatan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak dengan menggunakan boneka.

Jadual 4.1:  Hasil analisis temu bual menceritakan semula cerita Kumpulan 1 bagi cerita Kera menjadi Raja

Kanak-kanak
Af
Fa
Ha
Skor
7/10
8/10
10/10
Peratusan (%)
70
80
100

Jadual 4.2:  Hasil analisis temu bual menceritakan semula cerita Kumpulan 2 bagi cerita Kancil dan Buaya

Kanak-kanak
Hu
Ai
An
Skor
9/10
10/10
7/10
Peratusan (%)
90
100
70

Berasaskan kedua-dua jadual yang diperoleh, hasil analisis kajian mendapati bahawa terdapat dua orang kanak-kanak memperolehi 100% dengan skor 10/10 iaitu Kanak-kanak Ha dan Kanak-kanak Ai. Seorang kanak-kanak mendapat skor 9/10 atau 90% iaitu Kanak-kanak Hu dan skor 8/10 atau 80% iaitu Kanak-kanakFa. Namun begitu, terdapat dua orang kanak-kanak mendapat 70% dengan skor 7/10 iaitu Kanak-kanak Af dan Kanak-kanak An.

Rumusannya, hasil analisis temu bual mendapati bahawa kanak-kanak ini dapat menjawab soalan yang telah dikemukakan dengan baik dan betul. Kanak-kanak ini juga dapat menceritakan semula cerita dengan menggunakan boneka. Maksud cerita yang disampaikan oleh kanak-kanak juga membawa maksud yang sama seperti yang telah diperdengarkan oleh penyelidik. Kebolehan kanak-kanak ini bercerita semula cerita menunjukkan bahawa komunikasi kanak-kanak dapat ditingkatkan dengan menggunakan boneka. Justeru,  peningkatan berkomunkasi kanak-kanak ini telah menunjukkan bahawa bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak juga meningkat dengan menggunakan boneka.


Jadual 5: Perbezaan sebelum dan selepas intervensi dijalankan bagi meningkatkan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak

Kanak-kanak
Sebelum intervensi (%)
Selepas intervensi (%)
Jumlah Peningkatan (%)
Af
0
70
69
Fa
61.1
80
18.9
Ha
66.7
100
33.3
Hu
72.2
90
17.8
Ai
44.4
100
55.6
An
66.7
70
3.3

Jadual 5 menunjukkan peratusan peningkatan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak sebelum dan selepas menjalankan intervensi. Kanak-kanak Af mendapat peratusan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 69%. Kanak-kanak Ai mendapat peratusan peningkatan kedua tertinggi iaitu sebanyak 55.6%. Peratusan peningkatan yang ketiga tertinggi adalah Kanak-kanak Ha iaitu sebanyak 33.3% dan diikuti oleh Kanak-kanak Fa mendapat 18.9%. Kanak-kanak Hu mendapat 17.8% peningkatan selepas dijalankan intervensi. Manakala Kanak-kanak An hanya mendapat peratusan peningkatan sebanyak 3.3% sahaja yang merupakan jumlah peratus peningkatan yang terendah.

Rajah 2:  Hasil penggunaan boneka meningkatkan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak

Rajah 2 menunjukkan hasil penggunaan boneka dapat meningkatkan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak. Hasil analisis selepas menjalankan intervensi menggunakan alat kajian temu bual pula mendapati bahawa kanak-kanak ini dapat menjawab soalan yang telah diberikan kepada mereka dengan betul dan lancar dengan menggunakan boneka. Kanak-kanak ini juga dapat bercerita semula cerita yang telah diperdengarkan oleh penyelidik dengan menggunakan boneka. Kebolehan kanak-kanak ini menceritakan semula cerita menunjukkan bahawa peningkatan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak. Berbanding dengan hasil dapatan temu bual sebelum intervensi dijalankan mendapati bahawa kanak-kanak ini kurang memberikan respons apabila dikemukakan soalan kepada mereka. Hasil temubual telah menunjukkan jumlah kekerapan menjawab soalan adalah rendah menunjukkan kekurangan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak menyukarkan kanak-kanak untuk berkomunikasi.

Dansky dan Silverman (1975) juga telah membuktikan bahawa terdapat satu hubungan antara main dengan kefasihan perkaitan, iaitu kanak-kanak yang dibenarkan main dengan objek akan menggunakan objek tersebut dengan cara lebih kreatif. Malah main menerbitkan keupayaan menghubungkaitkan pelbagai objek tidak kira sama ada objek tersebut telah digunakan dalam aktiviti main atau tidak. Begitu juga aktiviti main membekalkan peluang adaptasi imaginatif kepada kanak-kanak untuk mengendalikan pengalaman mereka dan melatih keupayaan kognitif mereka yang berguna pada masa hadapan.

Kesimpulannya, hasil analisis mendapati bahawa penggunaan boneka dapat meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak. Penggunaan boneka juga dapat meningkatkan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak.

PERBINCANGAN DAN IMPLIKASI KAJIAN

Berdasarkan dapatan kajian, kanak-kanak berupaya berkomunikasai dengan lancar dan jelas dengan menggunakan boneka. Kajian yang telah dijalankan terhadap kanak-kanak didapati meningkatkan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak dan meningkatkan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak melalui aktiviti bermain boneka.

Didapati bahawa kanak-kanak dapat menjawab soalan yang diberikan kepada meraka dengan menggunakan boneka. Kebolehan kanak-kanak ini menjawab soalan yang diberikan menunjukkan peningkatan keupayaan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak. Hasil kajian ini menyokong pandangan Selathurai Nadeson (1982), menerangkan bahawa pepatung (puppet show) boleh digunakan untuk menerangkan atau menghuraikan sesuatu, memberi arahan, mengucapkan sesuatu yang lucu, bercerita, menyoal dan juga untuk mencipta situasi-situasi drama yang melibatkan kanak-kanak.

Selain itu, didapati bahawa kanak-kanak ini boleh bermain boneka bersama rakan-rakannya. Kebolehan kanak-kanak ini berbual antara satu sama lain menunjukkan bahawa kanak-kanak ini berupaya meningkatkan kemahiran berkomunikasi kanak-kanak. Hasil kajian ini menyokong pandangan Zaharatullaili (2006), menyatakan bermain dengan boneka dapat memberi peluang dan kebebasan kepada kanak-kanak untuk mengembangkan potensi masing-masing berdasarkan tahap kebolehan dan kemahiran mereka. Teknik yang berkesan dapat membantu kanak-kanak dalam perkembangan bahasa, emosi, sosial, komunikasi, fizikal dan pengetahuan kanak-kanak.

Tambahan lagi, didapati bahawa kanak-kanak ini boleh menjawab soalan yang telah dikemukakan kepada mereka melalui penceritaan semula cerita menggunakan boneka. Kebolehan kanak-kanak ini menceritakan semula cerita menunjukkan bahawa peningkatan bilangan perbendaharaan kata kanak-kanak. Hasil kajian ini menyokong pandangan Azizah (1995), menyatakan bahawa kanak-kanak mempunyai cara belajar yang tersendiri. Mereka suka meneroka perkara-perkara baru yang menarik perhatian mereka. Perkara-perkara ini boleh merangsang pemikiran mereka.

         Implikasi hasil penyelidikan mendapati bahawa  kanak-kanak dapat bercerita kepada rakan-rakan dan guru dengan yakin dan berani. Kanak-kanak berupaya berkomunikasi dengan lancar dan jelas. Bilangan perkataan yang digunakan oleh kanak-kanak juga bertambah daripada sebelum menggunakan boneka. Berdasarkan penemuan hasil kajian, penyelidik ingin mengemukakan empat kajian yang boleh dijalankan pada masa akan datang seperti berikut.

1.     Kajian yang dilaksanakan ini hanya dilaksanakan terhadap kanak-kanak yang berbangsa Melayu sahaja. Penyelidik mencadangkan agar kajian seterusnya dilaksanakan terhadap kanak-kanak yang berbangsa lain seperti Bangsa Cina dan Bangsa India bagi meningkatkan keupayaan berkomunikasi kanak-kanak berbangsa Cina dan berbangsa India.

2.     Kajian yang dijalankan ini hanya dijalankan di dalam kelas tanpa menggunakan pentas. Penyelidik mencadangkan agar kajian seterusnya menjalankan kajian boneka dengan menggunakan pentas boneka yang lebih menarik dan kreatif.

3.     Kajian dilaksanakan ini adalah hanya menumpukan kepada aspek penggunaan boneka bagi meningkatkan keupayaan berkomunikasi kanak-kanak. Penyelidik mencadangkan agar kajian seterusnya dijalankan bagi meningkatkan daya ingatan kanak-kanak dan meningkatkan hubungan sosioemosi kanak-kanak.

4.     Kajian yang dijalankan ini hanya menggunakan boneka haiwan sahaja. Penyelidik mencadangkan agar kajian seterusnya menggunakan jenis boneka yang seperti boneka watak manusia seperti boneka kanak-kanak, boneka ibu bapa dan boneka watak pekerjaan. Aktiviti ambil peranan (main peranan) yang berlaku dalam main dramatik dapat menyumbang kepada salah satu aspek perkembangan sosial iaitu keupayaan untuk melihat dunia dari perspektif orang lain.

Kesimpulannya, kajian yang seterusnya perlu dilaksanakan agar dapat menarik minat kanak-kanak untuk belajar di prasekolah. Loy (2004) menyifatkan teater boneka sebagai belajar melalui bermain. Dapatan kajian beliau menunjukkan bahawa boneka sarung tangan sangat menarik dan mudah dikendalikan oleh kanak-kanak serta dapat menarik minat dan memikat hati kanak-kanak. Penggunaan teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkesan dapat membantu kanak-kanak dalam meningkatkan perkembangan bahasa, emosi, sosial, komunikasi, fizikal dan pengetahuan kanak-kanak.

 RUJUKAN

______________ (2007). Kamus dewan edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusaka.

Azizah Lebai Nordin. (1995). Pengajaran pembelajaran prasekolah, masalah pendidikan, Jilid 19, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Baran, S.J. & Davis, K.D. (2000). Mass communication theory: foundations, ferment and future. Belmont: Wadsworth.

Brewer, J.A. (1992). Introduction to early childhood education: preschool through primary grades. Boston: Allyn and Bacon.

Dansky, J.B. & Silverman, I.W. (1975). Play: a general facilitator of associative fluency. Developmental Psychology, 11, 104.

Elliott, J. & Adelman, C. (1976). Innovation at the classroomlevel: A case study of the Ford teaching project. Curriculum Design and Development. Open University Press.

Emery, E.; P. Ault & W. Ageel. (1973). Introductionto mass communication. New York: Dodd, Mead and Co.

Feldman, J.R. (1991). A survival guide for preschool teacher. The Center for Applied Research in Education. New York.

Gagne, R.M. (1970). The condition of learning. New York: Holt, Rineheart & Winston.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2009). Kurikulum standard prasekolah kebangsaan. Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Levy, Ak. (1984). The language of play: the role of play in language development. Early Child Development and Care, 17, 49-69

Loy, C.L. (2004). Teater boneka sarung tangan di Perpustakaan Negara Malaysia: Unsur-unsur pendidikan dan teknik persembahan. Kuala Lumpur: Pusat Kebudayaan Universiti Malaya

Piaget, J. (1963). The origins of intelligence in children. (M. Cook, Trans). New York: Norton.

Schramm, W. (1954). The Nature of Communication between humans dalam Scharmm, W. & D. Robert, Eds. The process and effect of mass communication Op. Cit.

Selathurai Nadeson. (1982). Peranan drama/lakonan dan ‘role playing’ dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, Keluaran 64, Jilid XXVVII Disember 1982, Jurnal Kementerian Pelajaran Malaysia, Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan.
Zaharatullaili Mohd Daud. (2006). Penggunaan boneka dalam pengajaran dan pembelajaran prasekolah di Daerah Raub satu tinjauan KSPK. Kuala Lumpur: Institut Bahasa Melayu Malaysia.

Zurinah Ahmad & Mohamad Iman Arif. (2004). Pendidikan Pra Sekolah. Kuala Lumpur: Jade Green Publications Sdn. Bhd.


Laporan penuh boleh diperoleh dalam Jurnal Semarak Bahasa, Bil. 3/2010
IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur.

1 comment:

Anonymous said...

saya cadangkan agar meletakkan link ke blog ini. blog yang sangat menarik dan kaya dengan ilmu.


http://drotspss.blogspot.com/search/label/A%20-%20Tajuk%20094%3A%20Tulis%20problem%20statement

sekian, sarimah jbm