Tuesday, January 29, 2008

Sejarah Ringkas IPBMM

PENYATA Razak 1956 telah mengilhamkan penubuhan sebuah institut yang berperanan untuk meninggikan taraf Bahasa Melayu. Maka pada 12 Januari 1956 Institut Bahasa (kini IPBMM) telah ditubuhkan dan beroperasi di Bukit Senyum, Johor Bahru, Johor. Pada penghujung tahun 1958, institut ini telah berpindah ke kampus tetap iaitu di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Kuliah pertamanya bermula pada 12 Februari 1959. Institut Bahasa telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung yang pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman Ibni al-marhum Tuanku Muhammad pada 4 Jun 1959.

Institut Bahasa terus bernafas dan berkembang pesat dari segi .... (akan bersambung lagi...)

Monday, January 28, 2008

CONTOH KAJIAN TINDAKAN YANG DIJALANKAN DI SEKOLAH RENDAH

Meningkatkan kefahaman murid tentang konsep fotosintesis.
Mastura bt Ismail
SK. Laneh,Lubok Merbau,K.Kangsar.
1. OBJEKTIF
a)Umum
Menimbulkan minat serta pandangan positif terhadap mata pelajaran Sains.
Mengenalkan pembelajaran yang menyeronokkan dan berkesan kepada pelajar.
b)Khusus
i . membantu 14 pelajar Tahun 4 (gred B dan C) menguasai konsep fotosintesis .
ii. membantu pelajar menguasai kemahiran tafsir carta dengan bantuan
gambarajah,carta dan peta konsep.
2. METADOLOGI
Metadologi yang digunakan :
i . Pemerhatian
ii. Ujian Diagnostik
iii. Ujian Post
iv. Soal Selidik untuk murid,guru dan ibu bapa.
3. PERLAKSANAAN KAJIAN
a) Tinjauan Masalah
i . Prestasi pencapaian subjek Sains dalam peperiksaan dalaman masih belum
mencapai target dari segi kualiti gred.
ii . Pelajar masih lemah dalam penguasaan kemahiran asas dalam konsep bagi topic
Sains.
iii. Pelajar kurang mahir dalam mengembangkan idea dengan menggunakan
perkataan sendiri terutama dalam soalan Bahagian B.
iv. Kecenderungan pelajar dalam subjek Sains bergantung kepada topic yang tertentu sahaja.
v. Pelajar kurang mendapat motivasi dari ibu bapa dalam mempelajari Sains.
b) Perlaksanaan program
i .Membuat ujikaji berbentuk inkuiri- penemuan
ii Membina kefahaman terhadap konsep
iii Pembimbing rakan sebaya
iv Membina carta,peta minda dan gambarajah
v Ujian Post
vi Kajian soal selidik
c) Tindakan yang dijalankan
i Menjalankan Ujian Pra
ii Membuat ujikaji berbentuk inkuiri – penemuan
iii Murid membina kefahaman melalui ujikaji
iv Bimbingan rakan sebaya dari gred A semasa aktiviti berkumpulan
v Membina carta proses fotosintesis dengan bimbingan rakan dan maklumat dari
rujukan .
vi Mempamerkan carta fotosintesis untuk penilaian.
vii Ujian Post
4. DAPATAN KAJIAN
a) Analisis Data
i Analisis Ujian Pra
ii. Analisis Pemerhatian
iii Analisis soal selidik
iv. Analisis perlakuan murid
v. Analisis Ujian Post
b) Rumusan
i Pemahaman murid tentang konsep fotosintesis lebih kukuh
ii Kaedah inkuiri –penemuan secara berperingkat dan dapatan yang diulang-ulang
dapat membantu murid membina konsep dengan kukuh.
iii.Aktiviti berkumpulan dengan bimbingan rakan sebaya membantu pelajar terlibat
secara aktif dan bahan rujukan diguna dengan sepenuhnya apabila hasil
dipertandingkan.
5. REFLEKSI KAJIAN
a.) Pencapaian murid
Murid dapat mengatasi masalah kekeliruan konsep pertukaran gas semasa fotosintesis.
b) Rumusan Pemerhatian
Pertandingan antara kumpulan dalam menghasilkan carta memberi galakkan yang baik
pada setiap pelajar.
c) Proses Pengajaran dan pembelajaran
Kefahaman murid terhadap Konsep Fotosintesis dapat diperkukuhkan dengan teknik
pengajaran yang pelbagai.
6. CADANGAN
Saya bercadang untuk meneruskan teknik pengajaran berkumpulan dan inkuiri penemuan
dalam membina konsep fotosintesis.

Tuesday, January 22, 2008

KPKIP BIL. 2/2008

Kursus Pendek Kelolaan Institut Pendidikan (KPKIP) IPBMM akan diadakan pada :

Tarikh : 26-28 Februari 2008
Tempat : Bilik Melor
Masa : 8.00 pagi - 4.30 petang

KURSUS PENDEK KELOLAAN INSTITUT PERGURUAN

Kursus Pendek kelolaan Institut Perguruan (KPKIP) Bahasa Melayu Malaysia Bil. 1/2008 akan diadakan pada:

Tarikh : 29-31 Januari 2008
Tempat : Bilik Melor
Masa : 8.00 pagi - 4.30 petang

Fasilitator :
1. Cik Hajah Fatimah Idris
2. Dr. Rosinah Edinin
3. Pn. Suria Baba
4. Pn. Sarimah Haji Awang

brain based learning theory

satu lagi teori berasaskan otak yang bersandarkan tiga prinsip utama iaitu,
pemprosesan aktif, keselesaan serta pembenaman maklumat. Ia diasaskan oleh Renate Caine dan Numela Caine.

Monday, January 21, 2008

FORMAT PENULISAN KAJIAN TINDAKAN MENGIKUT MODEL

MODEL KAJIAN TINDAKAN (KURT LEWIN)
**** Digunakan apabila masalah kajian telah diketahui.

1. Tajuk kajian
2. Latar belakang kajian
3. Fokus/ Isu/ Perkara yang membangkitkan/ Ingin melihat
4. Tindakan biasa/ Situasi isu sekarang/ Asal usul perkara/bacaan/ tidak puas
5. Perancangan/ Rancangan tindakan/ Pelan
6. Pelaksanaan rancangan/ tindakan/ eksperimen/ Semasa menjalankan tindakan
7. Perhatian/ dapatan data kajian/ kiraan statistik/ Huraian dapatan dalam jadualRefleksi/ perbincangan dapatan/ Isu-isu yang didapati/ sumbangan hasil

** Refleksi boleh wujud di mana-mana bahagian

MODEL KAJIAN TINDAKAN ( STEPHEN KEMMIS)
**** Masalah tidak diketahui. Kenapa ia berlaku

1. Tajuk kajian
2. Latar belakang kajian
3. Fokus/ isu/ perkara yang membangkitkan/ ingin melihat
4. Rancangan/ Rancangan tindakan/ Pelan
5. Pelaksanaan rancangan/ tindakan/ eksperimen
6. Refleksi

LINGKARAN 2

1. Perancangan/ rancangan tindakan masalah baik isu yang dipilih
2. Pelaksanaan/ Tindakan/ eksperimen/ semasa menjalankan tindakan
3. Perhatian/ dapatan data kajian/ kiraan statistik/ huraian dapatan
4. Refleksi/ perbincangan dapatan/ isu-isu yang dibaiki


MODEL KAJIAN TINDAKAN (JOHN ELLIOT)
****** Tujuan : untuk membuktikan sesuatu teori/ Model. Biasa digunakan oleh doktor perubatan.

1. Tajuk kajian
2. Latar belakang kajian
3. Kenalpasti idea/ Fokus/ Masalah kajian/ Teori
4. Tinjauan : Cara fakta dan analisis kenyataan
5. Perancangan Tindakan

Tindakan 1
Tindakan 2
Tindakan 3
Tindakan 4

Huraikan semua dapatan tindakan di atas, pelaksanaan dan kesannya.

6. Refleksi : Huraian kejayaan

MODEL KAJIAN TINDAKAN (EPRD)
1. Abstrak
2. Refleksi P & P
3. Isu keperihatinan / Fokus kajian
4. Objektif kajian
a. Objektif am
b. Objektif khusus
5. Kumpulan sasaran
6. Pelaksanaan Kajian
a. Tinjauan masalah
b. Analisis tinjauan masalah
c. Tindakan yang dijalankan
d. Pelaksanaan Tindakan dan pemerhatian/ Penilaian
i. Pelaksanaan aktiviti 1 – Pemerhatian, Refleksi
ii. Pelaksanaan aktiviti 2 – Pemerhatian, Refleksi
e. Refleksi kajian
i. Penilaian pencapaian tindakan
ii. Rumusan hasil dapatan kajian
iii. Refleksi proses P & P
f. Cadangan untuk kajian seterusnya.

Wednesday, January 16, 2008

FOKUS : KAJIAN TINJAUAN

Apakah kajian tinjauan? Kajian tinjauan atau biasa disebut kajian survey merupakan salah satu kaedah penyelidikan bukan berbentuk eksperimen yang paling popular digunakan dalam pelbagai bidang khususnya dalam bidang sains sosial. Kajian tinjauan juga banyak digunakan dalam bidang pendidikan. Kajian tinjauan digunakan untuk mendapatkan maklumat daripada responden yang ramai iaitu ratusan ataupun ribuan responden (Marican, 2006). Kajian tinjauan dijalankan ke atas sampel dalam sesuatu populasi. Sampel yang terpilih mestilah mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifat populasi yang ingin dikaji supaya maklumat yang diperoleh melalui kajian berkenaan boleh memberi kenyataan dan gambaran umum tentang keseluruhan populasi yang dikaji. Justeru itu, salah satu tujuan menjalankan kajian tinjauan ialah untuk membuat kenyataan umum (generalization) tentang sesuatu populasi.
Berikut disenaraikan ciri-ciri kajian tinjauan: kajian menyeluruh mengenai sesuatu isu atau masalah, kutipan data yang cepat, penggunaan saiz sampel yang besar, maklumat dipungut secara terus daripada responden dalam masa singkat dan dapat membuat kenyataan umum untuk sesuatu populasi kajian (Chua, 2006). Terdapat beberapa cara pemilihan sampel dalam kajian tinjauan iaitu melalui pensampelan rawak mudah(simple random sampling), pensampelan berstrata (stratified sampling), pensampelan sistematik (systematic sampling) dan pensampelan kelompok (cluster sampling). Walau bagaimanapun pemilihan sampel dalam kajian tinjauan adalah secara rawak daripada sesuatu populasi yang dikenal pasti (Gay & Airasian, 2000).
Kajian tinjauan boleh dijalankan menggunakan soal selidik melalui pos dan temu bual secara lisan atau secara kertas-pensil, melalui SMS, e-mail serta telefon. Soal selidik ialah alat ukur yang paling popular dalam kajian tinjauan manakala temu bual dijalankan untuk menyokong hasil kajian yang diperoleh. Soal selidik yang digunakan dalam kajian ini biasanya disediakan oleh penyelidik Walau bagaimanapun soal selidik yang sedia ada dan soal selidik penyelidikan terdahulu iaitu yang telah melalui proses pengesahan dan diuji kebolehpercayaannya boleh juga digunakan. Sekiranya penyelidik perlu menyediakan instrumen soal selidik beberapa perkara perlu diambil perhatian. Ciri-ciri instrumen soal selidik yang baik mestilah sesuai dengan kesediaan responden, format instrumen yang sistematik, arahan yang jelas, surat dan dokumen disertakan bersama instrumen kajian serta ujian rintis perlu dijalankan sebelum instrumen digunakan (Chua, 2006). Selain soal selidik, temu bual juga boleh digunakan dalam kajian tinjauan. Beberapa bentuk temu bual boleh digunakan iaitu temu bual berstruktur, temu bual semi struktur, temu bual tidak berstruktur. Walau bagaimanapun temu bual tidak berstruktur jarang digunakan dalam kajian tinjauan kerana temu bual ini biasanya digunakan untuk mendapatkan maklumat mendalam berkaitan sesuatu fenomena atau isu (Gay & Airasian, 2000). Panduan membentuk item-item soal selidik ialah penggunaan bahasa yang mudah, selaras dengan responden, elakkan soalan yang sukar, soalan yang tidak mempengaruhi pemilihan responden, elakkan soalan dwi-maksud, soal selidik yang terlalu panjang, elakkan soalan yang kabur, elakkan mendorong jawapan yang digemari masyarakat, elakkan soalan yang berarah dan item yang negatif (Merican, 2006). Item-item soal selidik boleh menggunakan ukuran dalam bentuk skala likert, skala perbezaan semantik, skala Thurstone dan skala Gutman(Gay & Airasian, 2000).
Penyelidik kajian tinjauan menggunakan instrumen temu bual untuk mendapatkan maklumat. Beberapa aspek-aspek penting dalam penyediaan item temu bual ialah menentukan jenis temu bual dalam kajian; rancangan temu bual; stail, kandungan dan susunan soalan temu bual; ciri-ciri soalan temu bual yang baik; aras bahasa dalam temu bual; penyusunan soalan temu bual dan tempoh sesi temu bual (Chua, 2006). Kesemua aspek di atas perlu diambil perhatian ketika menyediakan item temu bual. Tujuannya ialah untuk menghasilkan satu set item yang boleh digunakan secara optimum untuk menjawab persoalan kajian. Beberapa kaedah temu bual boleh digunakan iaitu temu bual bersemuka, temu bual tidak bersemuka dan temu bual bantuan komputer. Terdapat 10 ciri asas untuk menjadi penemu bual yang baik iaitu tidak mulakan sesi temu bual yang dingin, sentiasa sedar tentang tujuan temu bual, soalan ditanya secara semula jadi, soalan yang penting perlu disoal dengan jelas dan tepat, berwatak sebagai pendengar yang baik, pakaian dan penampilan yang sesuai, tempat yang selesa, menghormati responden, berlatih sebelum sesi temu bual dilaksanakan dan menghargai responden.

FOKUS : KUASI-EKSPERIMEN

Apakah kajian kuasi–eksperimen? Kajian ini biasanya digunakan untuk menilai keberkesanan suatu program apabila responden kajian tidak dapat diagihkan secara rawak. Dua kumpulan responden yang dipilih mestilah tidak seimbang dan tidak mempunyai ciri-ciri yang sama. Rekabentuk kuasi-eksperimen digunakan untuk menggantikan reka berbentuk eksperimen tulin apabila dalam proses pemilihan responden kajian, pengagihan secara rawak tidak dapat dilakukan oleh penyelidik (Chua, 2006). Tambahan lagi, kajian ini dilakukan ke atas individu yang sentiasa terdedah dengan ralat-ralat dari luar misalnya perbezaan jantina, umur, latar belakang, pengalaman lepas, pengetahuan sedia ada, pengaruh persekitaran dan sebagainya. Kesemua faktor berkenaan boleh mempengaruhi hasil eksperimen. Dalam perkataan lain, penyelidik kurang yakin sama ada perubahan pada responden kumpulan rawatan pada akhir eksperimen adalah disebabkan oleh rawatan yang diberikan kepadanya atau faktor-faktor luaran yang lain. Kajian ini biasanya digunakan oleh penyelidik bidang psikologi, sosiologi dan pendidikan (Neuman, 2000). Contoh, seorang penyelidik telah menjalankan kajian tentang keberkesanan program kaunseling ke atas pelajar-pelajar bermasalah disiplin di sebuah sekolah. Kajian ini menggunakan kaedah pemilihan responden untuk pensampelan bertujuan. Pensampelan ini menggunakan ciri-ciri tingkah laku bermasalah disiplin. Kumpulan rawatan merupakan pelajar yang bermasalah disiplin mana kala kumpulan kawalan ialah kumpulan pelajar tidak bermasalah disiplin. Perbezaan yang boleh dikenal pasti dari kedua-dua kumpulan berkenaan ialah jantina, bangsa, umur, tahap IQ, tahap pendidikan, pandangan dan sikap mereka. Sehubungan itu, kajian eksperimen tulen tidak dapat dilakukan tetapi penyelidik berkenaan boleh menjalankan kajian kuasi-eksperimen. Kajian kuasi-eksperimen menggunakan prosedur persampelan secara kebetulan/ pensampelan kesediaan (accidental atau convenience sampling) dan persempelan bertujuan (purposive sampling). Persampelan secara kebetulan, penyelidik memilih mana-mana responden kajian yang ditemuinya atau yang paling dekat dengannya. Pemilihan responden kajian ini akan menimbulkan ralat yang tidak boleh dijangka kerana prosedur persampelan secara kebetulan bukan melalui persampelan rawak (Chua, 2006). Persampelan bertujuan dalam kajian ini digunakan untuk mendapatkan kumpulan responden yang mempunyai ciri-ciri tertentu mengikut kehendak pe- nyelidik. Sebagai contoh, kajian pelajar bermasalah disiplin. Sampel kajian ialah pelajar-pelajar bermasalah disiplin. Sampel begini bukan merupakan sampel rawak. Terdapat pelbagai reka bentuk kajian kuasi-eksperimen tetapi penjelasan hanya diberikan kepada tiga reka bentuk yang biasa digunakan di kalangan penyelidik dalam bidang pendidikan. Mengikut Chua (2006), terdapat tiga reka bentuk kajian kuasi-eksperimen yang biasa digunakan iaitu Ujian pra-pasca kumpulan-kumpulan tidak seimbang (nonequivalent groups pre-post test design), Reka bentuk regrasi tidak bersambungan (regression-discontinuity design) dan Reka bentuk siri masa (time series design). Reka bentuk ujian pra-pasca kumpulan-kumpulan tidak seimbang merupakan reka bentuk yang paling popular digunakan dalam kajian keberkesanan dalam bidang pendidikan. Reka bentuk ini mempunyai dua kumpulan responden iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan mempunyai ciri-ciri yang hampir sama. Dalam reka bentuk kajian ini, analisis Ujian-t dan Ujian ANOVA digunakan untuk menentukan perbezaan antara kedua-dua kumpulan responden. Reka bentuk regresi tidak bersambung biasanya digunakan dalam kajian yang melibatkan kumpulan khas misalnya menilai keberkesanan program pemulihan dan menguji keberkesanan program kaunseling ke atas sikap pelajar bermasalah disiplin. Analisis menggunakan Ujian regrasi. Reka bentuk siri masa merupakan kajian jangka masa panjang yang memerlukan masa dan tenaga yang banyak. Reka bentuk ini tidak mempunyai kumpulan kawalan. Penyelidik tidak dapat membuat perbandingan sama ada rawatan yang diberikan akan menghasilkan perubahan yang diingini atau pun tidak (Mohd. Majid, 2000). Pasca ujian akan dilakukan berulang-ulang sepanjang rawatan. Misalnya kajian berkaitan perkembangan pencapaian akademik pelajar yang didedahkan kepada KBSM. Analisis dilakukan melalui pencapaian ujian yang lebih baik.

FOKUS : KAJIAN KES

Mengapa menggunakan kajian kes? Sebagai seorang pendidik, keba nyakan kajian yang dijalankan tidak melibatkan populasi tetapi hanya individu atau kumpulan yang telah dikenal pasti oleh penyelidik. Penyelidik dalam bidang pendidikan khususnya lebih banyak menumpukan perhatian mereka kepada pelajar, guru, pentadbir, kakitangan termasuklah kakitangan pusat sumber, pembantu makmal dan kakitangan sokongan di sesebuah sekolah. Justeru itu, kajian akan lebih tertumpu kepada individu atau kumpulan dalam sebuah sekolah, dua buah sekolah atau tiga buah sekolah dalam sesuatu kawasan. Oleh yang demikian, kajian kes adalah reka bentuk kajian yang paling sesuai digunakan oleh pe nyelidik berkenaan. Melalui kajian kes, maklumat yang amat teliti, kaya dan mendalam dikumpul untuk menjawab persoalan kajian. Selain itu, kajian kes juga memfokus kepada penghuraian yang holistik/ menyeluruh dan memberikan penjelasan kepada sesuatu peristiwa yang berlaku secara mendalam (Yin, 1994). Kajian ini boleh menjawab soalan ‘bila’, ‘bagaimana’ dan ‘mengapa’. Kajian kes terdiri daripada dua jenis iaitu penerokaan (explanatory) dan diskriptif (descriptive). Kajian ini boleh dilakukan terhadap seorang individu, beberapa orang individu, kumpulan atau beberapa kumpulan dalam sesuatu organisasi seperti sekolah. Sebagai contoh, kajian terhadap seorang pelajar yang bermasalah dan pelajar yang cerdik dalam pembelajaran boleh dilaksanakan berdasarkan penerokaan dan deskriptif. Hal ini demikian kerana kaedah kajian kes memerlukan maklumat yang terperinci dan mendalam bagi seseorang penyelidik. Di samping itu, alat kajian yang sesuai diperlukan untuk memperoleh maklumat yang berkenaan (Chua, 2006). Alat kajian yang biasanya digunakan adalah soal selidik, temu bual, pemerhatian dan penelitian dokumen.
Selain itu, penyelidik juga boleh menggunakan dokumen personal seperti diari, memo, surat, fotografi, rakaman dan sebagainya. Soal selidik digunakan untuk mengetahui persepsi responden mengenai sesuatu fenomena. Ujian digunakan untuk mengukur pencapaian responden misalnya soalan-soalan ujian atau ujian penentuan tingkah laku. Temu bual yang digunakan adalah temu bual separa berstruktur dan terbuka supaya kesemua maklumat yang diperlukan dapat disampaikan kepada penyelidik. Begitu juga dengan pemerhatian yang dijalankan adalah pemerhatian turut serta dan pemerhatian tidak turut serta. Selain itu, penelitian dokumen juga boleh digunakan sekiranya diperlukan untuk me- nyokong soal selidik, temu bual atau pemerhatian yang telah dijalankan.
Penyelidik tidak perlu menggunakan kesemua alat kajian yang diberikan tetapi memilih alat kajian yang sesuai untuk menjawab persoalan kajian. Walau bagaimanapun, untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan kajian kes yang dijalankan, kaedah ‘triangulasi’ boleh digunakan. Kajian dilakukan ke atas tiga aspek iaitu masa, ruang dan pemerhati. Misalnya pemerhatian dilakukan pada masa yang berlainan, tempat yang berbeza dan dilakukan oleh beberapa orang pemerhati (Chua, 2006). Selain itu, ‘triangulasi’ juga boleh menggunakan tiga alat kajian yang berlainan untuk mendapatkan data yang sama. Seorang penyelidik kajian kes yang menggunakan alat temu bual harus mempunyai kemahiran menyoal yang baik seperti kurang bercakap tetapi lebih banyak mendengar, menyoal apa bila tidak faham, menyoal soalan terbuka, tidak menyampuk ketika responden sedang seronok bercerita, memastikan responden sentiasa fokus kepada soalan yang ditanya, tidak menilai apa yang disampaikan dan berdebat dengan mereka (Gay & Airasian, 2000). Selain itu, penyelidik juga harus mempunyai kemahiran untuk merangsang responden untuk bercerita secara selesa tanpa ragu-ragu. Kesemua perbualan harus direkodkan dengan menggunakan alat perakam audio. Tujuannya adalah supaya tidak ada maklumat yang tercicir dan mudah ditranskripsikan untuk dianalisis. Sebelum dianalisiskan temu bual berkenaan perlu mendapat pengesahan daripada responden untuk tujuan kesahan alat kajian yang digunakan. Terdapat dua jenis pemerhatian yang menjadi pilihan kepada pe-nyelidik kajian kes untuk digunakan supaya boleh menjawab persoalan kajian. Semasa pemerhatian turut serta penyelidik terlibat secara langsung dalam akti-viti yang dijalankan. Dengan menggunakan pemerhatian ini penyelidik mempunyai pengalaman menjalankan aktiviti dan berinteraksi dengan responden dalam kajian yang dijalankankan. Walau bagaimanapun kelemahannya ialah kesukaran penyelidik untuk membuat catatan nota lapangan pemerhatian. Mana kala pemerhatian tidak turut serta penyelidik hanya melakukan pemerhatian kepada keseluruhan aktiviti yang dijalankan. Kedua-dua pemerhatian dilakukan dalam situasi sebenar dan secara holistic (Gay & Airasian, 2000). Rakaman pemerhatian boleh menggunakan alat perakam audio dan video untuk merakam perbualan dan tingkah laku yang diperhatikan. Penyelidik akan mencatat tingkah laku, perbualan, keadaan tempat, interaksi guru-pelajar, interaksi pelajar-pelajar dan perkara-perkara yang diperlukan dalam kajian. Penyelidik boleh meminta bantuan penyelidik lain untuk mencatat pemerhatian yang dijalankan untuk tujuan pengesahan sekiranya perlu. Alat kajian yang terakhir, iaitu penelitian dokumen boleh digunakan untuk mendapatkan data sokongan. Penelitian dokumen boleh menggunakan senarai semak atau mendapatkan tema-tema yang diperlukan. Analisis menggunakan frekuensi dan peratus boleh digunakan.

BAGAIMANA MENGANALISIS DATA KUALITATIF?

Sebelum membincangkan mengenai cara menganalisi data, anda perlu tahu jenis dan bentuk kutipan data yang ingin dijalankan.
 Pemerhatian—terdapat dua jenis pemerhatian iaitu pemerhatian turut serta dan pemerhatian tidak turut serta. Pemerhatian tidak turut serta biasa digunakan dalam kajian kualitatif. Dalam pemerhatian tidak turut serta, pemerhati tidak terlibat secara langsung dalam situasi yang diperhatikan (Gay & Airasian, 2000). Selepas itu, penyelidik harus menentukan bentuk kutipan data yang sesuai digunakan untuk menjawab persoalan kajian.
Terdapat dua cara untuk mendapatkan data melalui kaedah pemerhatian iaitu pemerhatian berstruktur dan pemerhatian tidak berstruktur. Pemerhatian berstruktur selalunya menggunakan senarai semak pemerhatian manakala pemerhatian tidak berstruktur biasanya menggunakan catatan nota lapangan. Pemerhatian yang dilakukan menggunakan senarai semak lebih mudah untuk dianalisis dan memberi ruang kepada penyelidik untuk membuat pemerhatian tanpa bantuan penyelidik lain. Flanders (1976) telah mengemukan senarai semak berkaitan interaksi guru-murid dalam bilik darjah. Beliau menggunakan senarai semak FIAC.
Manakala pemerhatian tidak berstruktur menggunakan catatan nota lapangan agak sukar untuk dijalankan tetapi masih boleh digunakan dengan bantuan rakan penyelidik lain atau merakam menggunakan video/ alat perakan audioSemasa pemerhatian ini, penyelidik akan mencatat beberapa perkara yang diperhatikan seperti masa dan tempat pemerhatian dijalankan, keadaan tempat pemerhatian, aktiviti yang dijalankan dan refleksi penyelidik (Mohd. Najib, 1999). Pemerhatian berstruktur dianalisis menggunakan frekuensi dan peratus melalui senarai semak yang disediakan. Adalah lebih mudah menganalisis pemerhatian menggunakan senarai semak jika dibandingkan apabila menggunakan pemerhatian tidak berstruktur.
Selain itu, borang catatan pemerhatian juga boleh digunakan. Borang ini mencatat tingkah laku guru-pelajar mengikut sela masa yang ditetapkan (Chua, 2006). Pemerhatian tidak berstruktur menggunakan catatan nota lapangan yang akan dianalisis dengan mempersembahkannya dalam bentuk naratif dengan cara memerihalkan semula apa yang terdapat pada catatan nota lapangan pemerhatian serta menyebut petikan perbualan guru-pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (Morrison, 1993). Selain itu, tema-tema juga boleh diperolehi daripada catatan berkenaan. Catatan berkenaan juga boleh menerangkan keadaan bilik darjah semasa pemerhatian dijalankan.
 Temu bual - Terdapat 3 jenis temu bual iaitu temu bual berstruktur, temu bual separa berstruktur dan temu bual terbuka seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Keluaran lepas juga telah menyatakan bahawa temu bual digunakan untuk memperoleh maklumat berkenaan fakta, kepercayaan, perasaan, kehendak mengikut keperluan persoalan kajian (Mohd Majid, 2000). Temu bual dianalisis melalui transkripsi temu bual. Data temu bual ditranskripsikan kemudian ditaip dan diberikan nombor di bahagian sebelah kiri dan ditinggalkan kosong di sebelah kanan untuk tujuan pengekodan data. Satu ayat dalam transkripsi disebut unit. Unit yang telah dikodkan ditulis di ruang sebelah kanan kertas yang disediakan. Proses memberi kod terhadap unit-unit ayat ini akan memudahkan penyelidik mengenal pasti tema bagi setiap langkah dan memberi penerangan lanjut berkaitan tingkah laku berkenaan. Transkripsi dibaca dan tema-tema dikenal pasti kemudian dikodkan. Proses pengekodan dijalankan sehingga tamat satu transkripsi temu bual bagi seorang peserta kajian. Hasil analisis data temu bual boleh juga dipersembahkan dalam bentuk memerihalkan semula atau menggunakan kekerapan tema yang diperoleh melalui transkripsi temu bual. Kesemua jenis temubual boleh dianalisis mengikut proses yang sama iaitu dengan menghasilkan tema-tema atau dipersembahkan dalam bentuk petikan percakapan peserta kajian.
 Penelitian dokumen - digunakan apabila penyelidik ingin mendapatkan data daripada dokumen-dokumen yang berkaitan. Tujuannya adalah untuk menyokong dapatan yang sedia ada. Data daripada dokumen boleh diperoleh dengan menggunakan borang senarai semak. Analisis data dilakukan dengan menggunakan kekerapan atau peratus.

Wednesday, January 9, 2008

PERSAMPELAN DAN KAEDAH KUTIPAN DATA KUALITATIF

Sampel kajian kualitatif berbeza dengan sampel kajian kuantitatif kerana sampel yang diambil mewakili populasi lokasi/tempat kajian dijalankan manakala subjek kajian kualitatif dipilih secara bertujuan (Gay & Airasian 2000). Kajian kualitatif menggunakan pensampelan bertujuan. Subjek kajian dipilih mengikut kriteria-kriteria yang ditetapkan sesuai dengan tujuan kajian berkenaan dijalankan.
Kaedah kutipan data kajian kualitatif melibatkan beberapa langkah penting iaitu fokus kajian, kutipan data menggunakan cara pemerhatian, temu bual, analisis dokumen, penulisan diari, nota lapangan dan pengesahan protokol temu bual serta pemerhatian (Creswell 1994). Penyelidik sebagai pemerhati atau penyelidik sendiri melibatkan diri dalam aktiviti yang diperhatikan, boleh digunakan dalam kajian kualitatif. Alat perakam suara atau video digunakan selain senarai semak pemerhatian (Cohen et. al. 2000) Tujuannya adalah untuk membantu penyelidik menyemak semula apa yang diperhatikan. Ini akan membantu meningkatkan kesahan dan keboleh percayaan hasil pemerhatian yang diperoleh. Selain itu, penyelidik juga boleh menggunakan ‘peer checker’ di kalangan rakan penyelidik atau individu yang dilatih untuk membuat pemerhatian. Terdapat tiga bentuk temu bual yang boleh digunakan iaitu temu bual berstruktur, separa struktur atau temu bual bebas. Penyelidik perlu menyediakan protokol temu bual yang terdiri daripada pengenalan, soalan pembuka, soalan kunci, soalan-soalan berkaitan soalan kunci dan soalan penutup. Protokol temu bual disediakan untuk menjawab persoalan kajian. Temu bual yang dijalankan biasanya direkodkan menggunakan alat perakam audio supaya tidak ada maklumat yang akan tertinggal atau tercicir. Temu bual berkenaan akan ditranskripkan oleh penyelidik atau pembantunya. Hasil analisis data temu bual dipersembahkan dalam bentuk naratif atau kekerapan tema. Perlu diingatkan bahawa kebolehan penyelidik mengemukakan soalan demi soalan banyak membantu kajian yang dijalankan. Jika tidak subjek kajian akan menyatakan perkara-perkara di luar fokus kajian yang dijalankan. Dokumen seperti minit mesyuarat, surat khabar, kertas kerja, latihan, surat-surat dan dokumen yang berkaitan digunakan untuk menyokong dapatan kajian. Pelbagai bentuk kutipan data digunakan dalam kajian kualitatif. Data kualitatif yang diperoleh membantu memantapkan kajian yang dijalankan. Data-data berkenaan saling melengkapi antara satu sama lain.

MENGAPA MENGGUNAKAN KAEDAH KUALITATIF?

Sebagai penyelidik, langkah awal sebelum memulakan penyelidikan adalah mewujudkan persoalan yang perlu dijawap. Jawapan diperoleh dengan menjalankan kajian. Terdapat dua jenis pendekatan iaitu berbentuk kajian kuantitatif dan kualitatif. Kajian kualitatif dijalankan untuk mendapatkan kefahaman yang mendalam terhadap sesuatu perkara yang ingin dikaji (Marohaini 2001). Selain itu, kajian kualitatif juga dijalankan untuk mendapat maklumat terperinci berkaitan sesuatu perkara yang dikaji (Yin, 1984). Ini bermakna untuk mendapatkan maklumat terperinci dan mendalam kajian kualitatif dijalankan.
Tambahan lagi, kaedah ini boleh menerangkan peristiwa secara holistik dalam keadaan sebenar peristiwa berlaku tanpa sebarang manipulasi oleh penyelidik. Kajian ini menjawab persoalan berkaitan dengan mengapa sesuatu fenomena berlaku sedemikian dan bagaimana ia berlaku. Justeru, kajian dijalankan untuk menjawab soalan mengapa dan bagaimana yang dikemukakan oleh pengkaji. Pengkaji menjalankan kajian secara mendalam untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan kajian. Contoh persoalan kajian secara kualitatif ialah:
 Mengapa guru masih tidak menggunakan pendekatan koperatif dalam pengajaran dan pembelajaran mereka?
 Bagaimana guru menjalankan aktiviti koperatif dalam pengajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah? Dalam kajian kualitatif, penyelidik menjadi instrumen kajian (Creswell 1994). Penyelidik kualitatif merupakan instrumen untuk mengutip data dan menganalisis data. Penyelidik menyelidik peristiwa yang berlaku ketika kajian dijalankan. Kutipan data dijalankan secara berterusan. Kajian ini jarang membincangkan ciri kebolehpercayaan kerana kebolehpercayaan bergantuang kepada subjektiviti seseorang individu (M. Najib 1999). Kajian kualitatif merupakan kajian secara induktif iaitu penyelidik membina konsep, hipotesis dan teori untuk di kembangkan, dinyatakan dan dijelaskan.

KONSEP KAJIAN KUALITATIF

Kajian mendalam atas sesuatu situasi & individu.
 Kutipan data melalui pemerhatian, temu bual, penulisan diari dan analisis dokumen.
 Menjawab soalan berkaitan kenapa dan bagaimana.
 Penyelidik terlibat secara langsung dalam kajian yang dijalankan.
 Pendekatan kajian kualitatif—kajian kes, etnografi & grounded theory.
 Menggunakan persampelan bertujuan.
 Analisis data mengikut Miles & Huberman (1994) terdiri daripada data reduction, data display dan conclusion.

MENGAPA KAJIAN TINDAKAN SIGNIFIKAN?

Kajian tindakan sangat sesuai dijalankan oleh pensyarah dan para guru untuk pembangunan profesionalisme melalui:
 peningkatan kefahaman serta kesedaran kendiri penyelidik tentang sesuatu masalah dalam bilik darjah.
 pengenalan inovasi dan pembaharuan dalam usaha meningkatkan kualiti P & P.
 penglibatan diri dalam inkuiri refleksi amalan kendiri bertujuan memperbaiki atau meningkatkan tahap pendidikan.
 kesedaran lebih tinggi tentang amalan penyelidik serta kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan bersedia untuk mengubahnya.

Tuesday, January 8, 2008

MEMBERS OF THE BLOG

Blog ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh seluruh ahli daripada Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan IPBMM. Mereka terdiri daripada :

1. Cik Hajah Fatimah Idris - Ketua Jabatan
2. Dr. Rashidah Begam O.A. Rajak
3. Pn. Aishah Rohani Nahar
4. Dr. Rosinah Edinin
5. Dr. Suria Baba
6. Pn. Sarimah Haji Awang

Sokongan daripada anda - warga pendidik dan pembaca budiman dalam memberi komen dan juga sumbangan artikel berkaitan penyelidikan dan pembangunan amat dialu-alukan. Semoga usaha kita ini akan mendapat keberkatan daripada Ilahi. Sama-samalah kita memartabarkan profesion keguruan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006. Sokongan padu saudara/saudari didahului dengan ucapan terima kasih.

BLOG PENYELIDIKAN JAB. R&D IPBMM YANG PERTAMA

Assalamualaikum dan selamat pagi diucapkan kepada semua pembaca blog ini. Untuk pengetahuan saudara/i, blog ini merupakan blog ilmiah pertama yang diwujudkan khas untuk Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia. Blog ini dibangunkan dalam usaha menyemarakkan budaya penyelidikan dalam kalangan warga pendidik di IPBMM khususnya dan keseluruhan pendidik di Malaysia amnya. Semoga usaha jabatan ini akan mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada segenap lapisan warga pendidik yang telah lama berbakti dan berbudi, serta yang bakal menjadi warga pendidik. Manfaatkanlah blog ini demi pembangunan bangsa Malaysia yang berdaya saing di peringkat global.

Maka, pada hari ini, 8 Januari 2008, bermulalah era baru dalam bidang penyelidikan dan pembangunan di IPBMM. Semoga usaha ini diberkati Ilahi dan memberi manfaat kepada manusia sejagat amnya dan seluruh warga IPBMM khususnya.