Friday, February 11, 2011

PERNYATAAN MASALAH KAJIAN DALAM PENULISAN TESIS

Pernyataan masalah amat penting dalam penyelidikan yang dijalankan. Pernyataan masalah merupakan isu/ masalah yang ingin dikaji dalam penyelidikan. Selalunya pensyarah akan menyoal mengapa hendak menjalankan kajian berkenaan. Penyelidik tentunya telah bersedia untuk mempertahankan isu/masalah yang ingin dikaji. Justeru itu, penyelidik perlu boleh menerangkan secara mendalam mengapa kajian berkenaan perlu dijalankan.

Pernyataan masalah diperoleh melalui pembacaan, pemerhatian dan temu bual yang dijalankan. Selain itu, ia juga boleh diperoleh melalui penelitian dokumen dan soal selidik. Bagaimana menyampaikan pernyataan masalah dalam penulisan? Berikut diterangkan cara menyampaikan pernyataan masalah untuk tajuk – Pelaksanaan Inkuiri Penemuan dalam Pendidikan Sains. Ia merupakan suatu penyelidikan berbentuk kajian tinjauan.


Pertama: Penyelidik perlu menerangkan konsep-konsep yang digunakan dalam kontek penyelidikan yang dijalankan bukannya secara umum.

Kedua : Selepas itu, penyelidik menerangkan berkaitan kajian-kajian lepas yang mendapati bahawa isu/ masalah yang ingin dikaji mempunyai kepentingan dan kelebihan kepada pengguna/pelajar/guru/pentadbir/organisasi dan sebagainya. Penyelidik perlu menyertakan sebanyak yang mampu kajian-kajian dalam dan luar negara yang berkaitan.

Ketiga : Penyelidik perlu menerangkan senario pada ketika ini berkaitan isu/masalah yang ingin dikaji. Nyatakan kelemahan/ masalah/ kekangan yang dihadapi dan ia memerlukan penyelesaian melalui penyelidikan yang dijalankan.

Keempat : Penyelidik perlu menghubung kaitkan kepentingan dan kelebihan dengan senario yang dibincangkan untuk mengatasi isu/masalah yang dihadapi. Di sini lah kita perlu menjawab soalan, so what???. Maksudnya apa yang diperoleh dari penyelidikan yang dijalankan. Ia mestilah ‘sesuatu’ yang boleh menghasilkan ‘kejayaan’ selepas kajian dilaksanakan.

Kelima : Bahagian ini merupakan rumusan penyelidik keatas hujah-hujah yang disampaikan. Penyelidik perlu menerangkan kenapa kajian berkenaan amat penting dijalankan dari perspektif penyelidik.