Wednesday, January 16, 2008

BAGAIMANA MENGANALISIS DATA KUALITATIF?

Sebelum membincangkan mengenai cara menganalisi data, anda perlu tahu jenis dan bentuk kutipan data yang ingin dijalankan.
 Pemerhatian—terdapat dua jenis pemerhatian iaitu pemerhatian turut serta dan pemerhatian tidak turut serta. Pemerhatian tidak turut serta biasa digunakan dalam kajian kualitatif. Dalam pemerhatian tidak turut serta, pemerhati tidak terlibat secara langsung dalam situasi yang diperhatikan (Gay & Airasian, 2000). Selepas itu, penyelidik harus menentukan bentuk kutipan data yang sesuai digunakan untuk menjawab persoalan kajian.
Terdapat dua cara untuk mendapatkan data melalui kaedah pemerhatian iaitu pemerhatian berstruktur dan pemerhatian tidak berstruktur. Pemerhatian berstruktur selalunya menggunakan senarai semak pemerhatian manakala pemerhatian tidak berstruktur biasanya menggunakan catatan nota lapangan. Pemerhatian yang dilakukan menggunakan senarai semak lebih mudah untuk dianalisis dan memberi ruang kepada penyelidik untuk membuat pemerhatian tanpa bantuan penyelidik lain. Flanders (1976) telah mengemukan senarai semak berkaitan interaksi guru-murid dalam bilik darjah. Beliau menggunakan senarai semak FIAC.
Manakala pemerhatian tidak berstruktur menggunakan catatan nota lapangan agak sukar untuk dijalankan tetapi masih boleh digunakan dengan bantuan rakan penyelidik lain atau merakam menggunakan video/ alat perakan audioSemasa pemerhatian ini, penyelidik akan mencatat beberapa perkara yang diperhatikan seperti masa dan tempat pemerhatian dijalankan, keadaan tempat pemerhatian, aktiviti yang dijalankan dan refleksi penyelidik (Mohd. Najib, 1999). Pemerhatian berstruktur dianalisis menggunakan frekuensi dan peratus melalui senarai semak yang disediakan. Adalah lebih mudah menganalisis pemerhatian menggunakan senarai semak jika dibandingkan apabila menggunakan pemerhatian tidak berstruktur.
Selain itu, borang catatan pemerhatian juga boleh digunakan. Borang ini mencatat tingkah laku guru-pelajar mengikut sela masa yang ditetapkan (Chua, 2006). Pemerhatian tidak berstruktur menggunakan catatan nota lapangan yang akan dianalisis dengan mempersembahkannya dalam bentuk naratif dengan cara memerihalkan semula apa yang terdapat pada catatan nota lapangan pemerhatian serta menyebut petikan perbualan guru-pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran (Morrison, 1993). Selain itu, tema-tema juga boleh diperolehi daripada catatan berkenaan. Catatan berkenaan juga boleh menerangkan keadaan bilik darjah semasa pemerhatian dijalankan.
 Temu bual - Terdapat 3 jenis temu bual iaitu temu bual berstruktur, temu bual separa berstruktur dan temu bual terbuka seperti yang telah dinyatakan sebelum ini. Keluaran lepas juga telah menyatakan bahawa temu bual digunakan untuk memperoleh maklumat berkenaan fakta, kepercayaan, perasaan, kehendak mengikut keperluan persoalan kajian (Mohd Majid, 2000). Temu bual dianalisis melalui transkripsi temu bual. Data temu bual ditranskripsikan kemudian ditaip dan diberikan nombor di bahagian sebelah kiri dan ditinggalkan kosong di sebelah kanan untuk tujuan pengekodan data. Satu ayat dalam transkripsi disebut unit. Unit yang telah dikodkan ditulis di ruang sebelah kanan kertas yang disediakan. Proses memberi kod terhadap unit-unit ayat ini akan memudahkan penyelidik mengenal pasti tema bagi setiap langkah dan memberi penerangan lanjut berkaitan tingkah laku berkenaan. Transkripsi dibaca dan tema-tema dikenal pasti kemudian dikodkan. Proses pengekodan dijalankan sehingga tamat satu transkripsi temu bual bagi seorang peserta kajian. Hasil analisis data temu bual boleh juga dipersembahkan dalam bentuk memerihalkan semula atau menggunakan kekerapan tema yang diperoleh melalui transkripsi temu bual. Kesemua jenis temubual boleh dianalisis mengikut proses yang sama iaitu dengan menghasilkan tema-tema atau dipersembahkan dalam bentuk petikan percakapan peserta kajian.
 Penelitian dokumen - digunakan apabila penyelidik ingin mendapatkan data daripada dokumen-dokumen yang berkaitan. Tujuannya adalah untuk menyokong dapatan yang sedia ada. Data daripada dokumen boleh diperoleh dengan menggunakan borang senarai semak. Analisis data dilakukan dengan menggunakan kekerapan atau peratus.

4 comments:

Anonymous said...

Terima kasih, satu tutorial yang baik untuk panduan para graduan.

mahasiswa said...

salam..saya tertarik tentang pemerhatian berstruktur yang disebyt diatas. Adakah ia seperto borang senarai semak biasa?bagaimana contoh pemerhatian berstruktu dan dimanakah saya boleh mendapatkan makluamat mengenai kaedahnya?terima kasih..

pendidik @ student said...

terima kasih..walaupun agak terlewat saya 'jumpa' blog ini, at least dapat membantu saya dalam mendapatkan maklumat untuk exam paper penyelidikan yg akan saya hadapi 3 hari lagi.

2 semester lagi saya akan mulakan tesis sarjana, harap info di sini boleh membantu saya nanti. thanks a lot..

mahasiswi said...

Info ini sangat membantu.. terima kasi mencurahkn ilmu sebegini.