Wednesday, January 16, 2008

FOKUS : KAJIAN TINJAUAN

Apakah kajian tinjauan? Kajian tinjauan atau biasa disebut kajian survey merupakan salah satu kaedah penyelidikan bukan berbentuk eksperimen yang paling popular digunakan dalam pelbagai bidang khususnya dalam bidang sains sosial. Kajian tinjauan juga banyak digunakan dalam bidang pendidikan. Kajian tinjauan digunakan untuk mendapatkan maklumat daripada responden yang ramai iaitu ratusan ataupun ribuan responden (Marican, 2006). Kajian tinjauan dijalankan ke atas sampel dalam sesuatu populasi. Sampel yang terpilih mestilah mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifat populasi yang ingin dikaji supaya maklumat yang diperoleh melalui kajian berkenaan boleh memberi kenyataan dan gambaran umum tentang keseluruhan populasi yang dikaji. Justeru itu, salah satu tujuan menjalankan kajian tinjauan ialah untuk membuat kenyataan umum (generalization) tentang sesuatu populasi.
Berikut disenaraikan ciri-ciri kajian tinjauan: kajian menyeluruh mengenai sesuatu isu atau masalah, kutipan data yang cepat, penggunaan saiz sampel yang besar, maklumat dipungut secara terus daripada responden dalam masa singkat dan dapat membuat kenyataan umum untuk sesuatu populasi kajian (Chua, 2006). Terdapat beberapa cara pemilihan sampel dalam kajian tinjauan iaitu melalui pensampelan rawak mudah(simple random sampling), pensampelan berstrata (stratified sampling), pensampelan sistematik (systematic sampling) dan pensampelan kelompok (cluster sampling). Walau bagaimanapun pemilihan sampel dalam kajian tinjauan adalah secara rawak daripada sesuatu populasi yang dikenal pasti (Gay & Airasian, 2000).
Kajian tinjauan boleh dijalankan menggunakan soal selidik melalui pos dan temu bual secara lisan atau secara kertas-pensil, melalui SMS, e-mail serta telefon. Soal selidik ialah alat ukur yang paling popular dalam kajian tinjauan manakala temu bual dijalankan untuk menyokong hasil kajian yang diperoleh. Soal selidik yang digunakan dalam kajian ini biasanya disediakan oleh penyelidik Walau bagaimanapun soal selidik yang sedia ada dan soal selidik penyelidikan terdahulu iaitu yang telah melalui proses pengesahan dan diuji kebolehpercayaannya boleh juga digunakan. Sekiranya penyelidik perlu menyediakan instrumen soal selidik beberapa perkara perlu diambil perhatian. Ciri-ciri instrumen soal selidik yang baik mestilah sesuai dengan kesediaan responden, format instrumen yang sistematik, arahan yang jelas, surat dan dokumen disertakan bersama instrumen kajian serta ujian rintis perlu dijalankan sebelum instrumen digunakan (Chua, 2006). Selain soal selidik, temu bual juga boleh digunakan dalam kajian tinjauan. Beberapa bentuk temu bual boleh digunakan iaitu temu bual berstruktur, temu bual semi struktur, temu bual tidak berstruktur. Walau bagaimanapun temu bual tidak berstruktur jarang digunakan dalam kajian tinjauan kerana temu bual ini biasanya digunakan untuk mendapatkan maklumat mendalam berkaitan sesuatu fenomena atau isu (Gay & Airasian, 2000). Panduan membentuk item-item soal selidik ialah penggunaan bahasa yang mudah, selaras dengan responden, elakkan soalan yang sukar, soalan yang tidak mempengaruhi pemilihan responden, elakkan soalan dwi-maksud, soal selidik yang terlalu panjang, elakkan soalan yang kabur, elakkan mendorong jawapan yang digemari masyarakat, elakkan soalan yang berarah dan item yang negatif (Merican, 2006). Item-item soal selidik boleh menggunakan ukuran dalam bentuk skala likert, skala perbezaan semantik, skala Thurstone dan skala Gutman(Gay & Airasian, 2000).
Penyelidik kajian tinjauan menggunakan instrumen temu bual untuk mendapatkan maklumat. Beberapa aspek-aspek penting dalam penyediaan item temu bual ialah menentukan jenis temu bual dalam kajian; rancangan temu bual; stail, kandungan dan susunan soalan temu bual; ciri-ciri soalan temu bual yang baik; aras bahasa dalam temu bual; penyusunan soalan temu bual dan tempoh sesi temu bual (Chua, 2006). Kesemua aspek di atas perlu diambil perhatian ketika menyediakan item temu bual. Tujuannya ialah untuk menghasilkan satu set item yang boleh digunakan secara optimum untuk menjawab persoalan kajian. Beberapa kaedah temu bual boleh digunakan iaitu temu bual bersemuka, temu bual tidak bersemuka dan temu bual bantuan komputer. Terdapat 10 ciri asas untuk menjadi penemu bual yang baik iaitu tidak mulakan sesi temu bual yang dingin, sentiasa sedar tentang tujuan temu bual, soalan ditanya secara semula jadi, soalan yang penting perlu disoal dengan jelas dan tepat, berwatak sebagai pendengar yang baik, pakaian dan penampilan yang sesuai, tempat yang selesa, menghormati responden, berlatih sebelum sesi temu bual dilaksanakan dan menghargai responden.

6 comments:

Mr. azmie said...

thanks for info research...tp sy rs lebih elok dilekatkan rujukan yang dimasukkan....

Anonymous said...

Saya turut bersetuju dengan cadangan Mr.azmie agar rujukan yang dinyatakan dalam teks dimasukkan ke dalam artikel ini.

Anonymous said...

Tak setuju boleh terus copy n paste.... kalau tak ada at least kita buat rujukan silang...bersilang and bersilang.....

Anonymous said...

moga diberkati ushamu..

Cikgu Izmir said...

berguna

Anonymous said...

Tq...