Wednesday, January 16, 2008

FOKUS : KAJIAN KES

Mengapa menggunakan kajian kes? Sebagai seorang pendidik, keba nyakan kajian yang dijalankan tidak melibatkan populasi tetapi hanya individu atau kumpulan yang telah dikenal pasti oleh penyelidik. Penyelidik dalam bidang pendidikan khususnya lebih banyak menumpukan perhatian mereka kepada pelajar, guru, pentadbir, kakitangan termasuklah kakitangan pusat sumber, pembantu makmal dan kakitangan sokongan di sesebuah sekolah. Justeru itu, kajian akan lebih tertumpu kepada individu atau kumpulan dalam sebuah sekolah, dua buah sekolah atau tiga buah sekolah dalam sesuatu kawasan. Oleh yang demikian, kajian kes adalah reka bentuk kajian yang paling sesuai digunakan oleh pe nyelidik berkenaan. Melalui kajian kes, maklumat yang amat teliti, kaya dan mendalam dikumpul untuk menjawab persoalan kajian. Selain itu, kajian kes juga memfokus kepada penghuraian yang holistik/ menyeluruh dan memberikan penjelasan kepada sesuatu peristiwa yang berlaku secara mendalam (Yin, 1994). Kajian ini boleh menjawab soalan ‘bila’, ‘bagaimana’ dan ‘mengapa’. Kajian kes terdiri daripada dua jenis iaitu penerokaan (explanatory) dan diskriptif (descriptive). Kajian ini boleh dilakukan terhadap seorang individu, beberapa orang individu, kumpulan atau beberapa kumpulan dalam sesuatu organisasi seperti sekolah. Sebagai contoh, kajian terhadap seorang pelajar yang bermasalah dan pelajar yang cerdik dalam pembelajaran boleh dilaksanakan berdasarkan penerokaan dan deskriptif. Hal ini demikian kerana kaedah kajian kes memerlukan maklumat yang terperinci dan mendalam bagi seseorang penyelidik. Di samping itu, alat kajian yang sesuai diperlukan untuk memperoleh maklumat yang berkenaan (Chua, 2006). Alat kajian yang biasanya digunakan adalah soal selidik, temu bual, pemerhatian dan penelitian dokumen.
Selain itu, penyelidik juga boleh menggunakan dokumen personal seperti diari, memo, surat, fotografi, rakaman dan sebagainya. Soal selidik digunakan untuk mengetahui persepsi responden mengenai sesuatu fenomena. Ujian digunakan untuk mengukur pencapaian responden misalnya soalan-soalan ujian atau ujian penentuan tingkah laku. Temu bual yang digunakan adalah temu bual separa berstruktur dan terbuka supaya kesemua maklumat yang diperlukan dapat disampaikan kepada penyelidik. Begitu juga dengan pemerhatian yang dijalankan adalah pemerhatian turut serta dan pemerhatian tidak turut serta. Selain itu, penelitian dokumen juga boleh digunakan sekiranya diperlukan untuk me- nyokong soal selidik, temu bual atau pemerhatian yang telah dijalankan.
Penyelidik tidak perlu menggunakan kesemua alat kajian yang diberikan tetapi memilih alat kajian yang sesuai untuk menjawab persoalan kajian. Walau bagaimanapun, untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan kajian kes yang dijalankan, kaedah ‘triangulasi’ boleh digunakan. Kajian dilakukan ke atas tiga aspek iaitu masa, ruang dan pemerhati. Misalnya pemerhatian dilakukan pada masa yang berlainan, tempat yang berbeza dan dilakukan oleh beberapa orang pemerhati (Chua, 2006). Selain itu, ‘triangulasi’ juga boleh menggunakan tiga alat kajian yang berlainan untuk mendapatkan data yang sama. Seorang penyelidik kajian kes yang menggunakan alat temu bual harus mempunyai kemahiran menyoal yang baik seperti kurang bercakap tetapi lebih banyak mendengar, menyoal apa bila tidak faham, menyoal soalan terbuka, tidak menyampuk ketika responden sedang seronok bercerita, memastikan responden sentiasa fokus kepada soalan yang ditanya, tidak menilai apa yang disampaikan dan berdebat dengan mereka (Gay & Airasian, 2000). Selain itu, penyelidik juga harus mempunyai kemahiran untuk merangsang responden untuk bercerita secara selesa tanpa ragu-ragu. Kesemua perbualan harus direkodkan dengan menggunakan alat perakam audio. Tujuannya adalah supaya tidak ada maklumat yang tercicir dan mudah ditranskripsikan untuk dianalisis. Sebelum dianalisiskan temu bual berkenaan perlu mendapat pengesahan daripada responden untuk tujuan kesahan alat kajian yang digunakan. Terdapat dua jenis pemerhatian yang menjadi pilihan kepada pe-nyelidik kajian kes untuk digunakan supaya boleh menjawab persoalan kajian. Semasa pemerhatian turut serta penyelidik terlibat secara langsung dalam akti-viti yang dijalankan. Dengan menggunakan pemerhatian ini penyelidik mempunyai pengalaman menjalankan aktiviti dan berinteraksi dengan responden dalam kajian yang dijalankankan. Walau bagaimanapun kelemahannya ialah kesukaran penyelidik untuk membuat catatan nota lapangan pemerhatian. Mana kala pemerhatian tidak turut serta penyelidik hanya melakukan pemerhatian kepada keseluruhan aktiviti yang dijalankan. Kedua-dua pemerhatian dilakukan dalam situasi sebenar dan secara holistic (Gay & Airasian, 2000). Rakaman pemerhatian boleh menggunakan alat perakam audio dan video untuk merakam perbualan dan tingkah laku yang diperhatikan. Penyelidik akan mencatat tingkah laku, perbualan, keadaan tempat, interaksi guru-pelajar, interaksi pelajar-pelajar dan perkara-perkara yang diperlukan dalam kajian. Penyelidik boleh meminta bantuan penyelidik lain untuk mencatat pemerhatian yang dijalankan untuk tujuan pengesahan sekiranya perlu. Alat kajian yang terakhir, iaitu penelitian dokumen boleh digunakan untuk mendapatkan data sokongan. Penelitian dokumen boleh menggunakan senarai semak atau mendapatkan tema-tema yang diperlukan. Analisis menggunakan frekuensi dan peratus boleh digunakan.

7 comments:

Anonymous said...

terima kasih. info ini sangat berguna bagi saya yang baru berjinak-jinak dengan kajian kes. Namun begitu, saya masih mempunyai keraguan mengenai topik ini. Apakah kajian kes yang dilakukan perlu dipersembahkan mengikut format?
dan, apakah format standard kajian kes yang digunakan dalam bidang pendidikan?

MBT100240 said...

panduan yang amat berguna, terima kasih..

MBT100240 said...

info yang amat berguna , temima kasih..

JPIPK@IPG KBM said...

Semoga info ini dpt membantu tuan dlm penyelidikan yg dijalankan. terima kasih atas kunjungan tuan.

Anonymous said...

tahniah kerana meningkatkan kualiti persembahan blog ini. saya berasa amat bangga dengan wajah terkini blog jpipk ini yang semakin kaya dengan maklumat yang berkaitan dengan penyelidikan.

Anonymous said...

tahniah jpipk kerana berjaya membangunkan blog ini sehingga menjadi spt blog sekarang ini. kaya dengan informasi. teruskan usaha baik ini agar kesinambungannya dapat diteruskan sehingga bila-bila...drpd Sarimah Hj Awang (pengasas blog ini...hehehe!)

FARIZAM BINTI YAAKUB said...

terima kasih banyak - banyak kepada pensyarah yang mewujudkan blog ni......ia banyak membantu saya sebagai pelajar PPG yang masih lagi tercari - cari dan masih samar - samar untuk memahami tentang penyelidikan ini