Wednesday, January 9, 2008

PERSAMPELAN DAN KAEDAH KUTIPAN DATA KUALITATIF

Sampel kajian kualitatif berbeza dengan sampel kajian kuantitatif kerana sampel yang diambil mewakili populasi lokasi/tempat kajian dijalankan manakala subjek kajian kualitatif dipilih secara bertujuan (Gay & Airasian 2000). Kajian kualitatif menggunakan pensampelan bertujuan. Subjek kajian dipilih mengikut kriteria-kriteria yang ditetapkan sesuai dengan tujuan kajian berkenaan dijalankan.
Kaedah kutipan data kajian kualitatif melibatkan beberapa langkah penting iaitu fokus kajian, kutipan data menggunakan cara pemerhatian, temu bual, analisis dokumen, penulisan diari, nota lapangan dan pengesahan protokol temu bual serta pemerhatian (Creswell 1994). Penyelidik sebagai pemerhati atau penyelidik sendiri melibatkan diri dalam aktiviti yang diperhatikan, boleh digunakan dalam kajian kualitatif. Alat perakam suara atau video digunakan selain senarai semak pemerhatian (Cohen et. al. 2000) Tujuannya adalah untuk membantu penyelidik menyemak semula apa yang diperhatikan. Ini akan membantu meningkatkan kesahan dan keboleh percayaan hasil pemerhatian yang diperoleh. Selain itu, penyelidik juga boleh menggunakan ‘peer checker’ di kalangan rakan penyelidik atau individu yang dilatih untuk membuat pemerhatian. Terdapat tiga bentuk temu bual yang boleh digunakan iaitu temu bual berstruktur, separa struktur atau temu bual bebas. Penyelidik perlu menyediakan protokol temu bual yang terdiri daripada pengenalan, soalan pembuka, soalan kunci, soalan-soalan berkaitan soalan kunci dan soalan penutup. Protokol temu bual disediakan untuk menjawab persoalan kajian. Temu bual yang dijalankan biasanya direkodkan menggunakan alat perakam audio supaya tidak ada maklumat yang akan tertinggal atau tercicir. Temu bual berkenaan akan ditranskripkan oleh penyelidik atau pembantunya. Hasil analisis data temu bual dipersembahkan dalam bentuk naratif atau kekerapan tema. Perlu diingatkan bahawa kebolehan penyelidik mengemukakan soalan demi soalan banyak membantu kajian yang dijalankan. Jika tidak subjek kajian akan menyatakan perkara-perkara di luar fokus kajian yang dijalankan. Dokumen seperti minit mesyuarat, surat khabar, kertas kerja, latihan, surat-surat dan dokumen yang berkaitan digunakan untuk menyokong dapatan kajian. Pelbagai bentuk kutipan data digunakan dalam kajian kualitatif. Data kualitatif yang diperoleh membantu memantapkan kajian yang dijalankan. Data-data berkenaan saling melengkapi antara satu sama lain.

No comments: